Semangat juang tinggi jadi sandaran

Oleh Syamil Izwan Azizan 22 May 2018 2856
Semangat juang tinggi jadi sandaran
Sebagai permulaan, ini merupakan kali kedua penulis diberi peluang membuat liputan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber.

Kali pertama pada edisi 2014 New Delhi, India di mana ketika itu skuad Thomas negara mara ke final sebelum dikecewakan oleh Jepun manakala skuad Uber kandas di peringkat kumpulan.

Kini penulis berada di Bangkok, Thailand bagi mengikuti perjalanan wakil negara yang telahpun membuka cabaran dengan aksi pertama peringkat kumpulan pada Isnin.

Skuad Thomas menyaksikan Malaysia tidak berdepan kesukaran dengan mengatasi Rusia 5-0 walaupun persembahan gandingan beregu utama, Goh V Shem/Tan Wee Kiong sedikit meresahkan.

Manakala syabas diucapkan kepada Lee Zii Jia serta gandingan beregu Aaron Chia/Teo Ee Yi yang pamer aksi konsisten dalam penampilan sulung mereka di peringkat ini.

Bagi kempen skuad Uber pula, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas tipis 2-3 kepada Indonesia dalam saingan kumpulan D.

Pertemuan ini sememangnya penting buat Malaysia andai ingin mencerahkan peluang mara ke suku akhir yang tidak pernah diulangi sejak edisi 2010 di Kuala Lumpur.

Perseorangan pertama, Soniia Cheah berikan harapan apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Fitriani Fitriani.

Dengan Indonesia memperoleh mata daripada bahagian beregu, Goh Jin Wei yang diletakkan sebagai perseoranagn kedua sebenarnya menjadi penentu tetapi dia terpaksa akur kepada lawan yang lebih baik, Gregoria Mariska.

Pujian buat S. Kisona yang sama seperti Zii Jia, membuat penampilan sulung di peringkat tertinggi ini dan tidak mengecewakan apabila peroleh mata kedua Malaysia dengan menewaskan Ruselli Hartawan.

Kekalahan kepada Indonesia meletakkan Malaysia di jalan sukar kerana perlu menewaskan China pada Selasa andai ingin punyai peluang ke suku akhir.

Apa jua keputusan yang dilakar pada Selasa, penulis percaya semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain negara wajar diberikan pujian.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen