Selangor & Jawa kuasa dua

Oleh Muzaffar Musa 22 May 2017 233
Selangor & Jawa kuasa dua
Seorang diterbangkan jauh dari Jember, Indonesia. Seorang lagi sememangnya anak jati Tanjung Karang, Selangor. Namun kedua-duanya dari ras Melayu yang sama. Dua anak Jawa ini sememangnya cukup berpengaruh dalam bola sepak Selangor dengan kedua-duanya pernah memakai lilitan kapten di lengan.

Mari ikuti siapa gandingan penyerang yang saya namakan 'Jawa Kuasa Dua' ini yang bakal memperkuatkan kembali barisan serangan pasukan Selangor Darul Ehsan.

'The Golden Boy of Selangor'

Amri Yahyah, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalan arena bola sepak Malaysia. Baik dalam peringkat antarabangsa mahupun dalam saingan domestik, Amri sememangnya antara penyerang terbilang yang pernah dilahirkan negara. Paling diingati sudah pasti 2 gol ketika menentang Manchester United serta jaringan tunggal negara sewaktu bertemu Barcelona suatu ketika dahulu.

Amri mula menyertai pasukan senior Selangor pada tahun 2001. Kemasukannya ke dalam pasukan tersebut ibarat tangkal bertuah di mana dia berjaya membantu Selangor meraih kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2002, menerusi jaringan emasnya pada minit ke-100 dalam menundukkan Sabah 1-0. Kejayaan Amri yang hanya berusia 21 tahun ketika itu menyaksikan dia mendapat gelaran 'budak emas' Selangor susulan daripada jaringan tersebut.

12 tahun mencurah bakti bersama Selangor, Amri sudah mengecapi segala bentuk piala dalam arena bola sepak tempatan. Dua gelaran Liga Super, satu gelaran Liga Perdana, dua Piala Malaysia, tiga Piala FA juga tiga Piala Sumbangsih sudah cukup untuk menjawab mengapa dia layak bergelar 'Sang Legenda' buat sebahagian besar peminat Gergasi Merah Kuning.

Perpindahan Amri ke Johor Darul Takzim pada tahun 2014 nyata sukar diterima oleh penyokong setia Selangor. Rata-rata mereka mula menzahirkan transisi hakiki daripada perasaan cinta kepada satu aura yang penuh kebencian. Segalanya bermula ketika pertemuan Liga Super di mana Amri dilihat menari ketika meraikan jaringan rakan sepasukan ketika menundukkan Selangor 4-1 di Larkin pada 15 Februari 2014. Permohonan maaf Amri sehari selepas itu nyata tidak diterima penyokong Selangor dengan dia teruk diherdik ketika bertandang ke Shah Alam 9 hari selepas itu.

Lupakan segala konflik tersebut, Amri kini sudah bersedia membawa kembali nama Selangor selaku sebuah pasukan gergasi sebaik sah menyarung kembali jersi keramatnya itu pada 17 Mei lalu.

Jelmaan 'Messi' dari Indonesia

Beralih kepada seorang lagi anak Jawa yang akan kembali membawa panji merah kuning di persada bola sepak negara. Andik Vermansah merupakan anak kelahiran Jember, Jawa Timur, Indonesia. Aksi licik yang sering diperagakan dari susuk tubuh cilik ini menyaksikan dia digelar 'Lionel Messi' versi Indonesia. Kualiti yang dimiliki Andik ini juga menyaksikan dia pernah dilabel produk terbaik yang pernah dihasilkan bola sepak Indonesia.

Andik mula menyertai Selangor pada 1 Disember 2013 selepas mengikat kontrak dua tahun dari pasukan Persebaya Surabaya. Dia dikhabarkan menerima bayaran sebanyak 150 ribu Dolar Amerika setahun yang menjadikannya atlit Indonesia yang mendapat bayaran termahal ketika itu.

Sejak itu, Andik menjadi watak penting dalam segala kejayaan yang dilakar Selangor.

Bersama pasukan ini, Andik telah mengecap kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 2015 selain turut muncul naib juara Liga Super bagi 2 tahun berturut-turut (2014 & 2015).

Kecederaan yang dialaminya pada penghujung musim lalu memaksa pihak pengurusan Selangor mengetepikan namanya awal musim ini.

Namun Andik membuktikan jiwa besarnya bersama Selangor, dengan sah kembali memperkuatkan pasukan tersebut pada pusingan kedua liga yang akan bersambung tidak lama lagi.

Andik merampas kembali slot pemain import dari penyerang Romania, Victor Astafei, sekaligus menutup spekulasi yang bertiup kencang mengenai kepulangannya beraksi di negara kelahirannya Indonesia.

Duo dinamik Selangor

Mampukah duo Jawa ini mengembalikan zaman kegemilangan Selangor? Amri sememangnya mempunyai rekod yang baik dalam bergandingan bersama penyerang dari Indonesia. Imbas kembali kejayaan treble Selangor pada tahun 2005. Pada zaman tersebut Selangor diperkuatkan dengan dua pemain import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy. Selangor kemudiannya menjadi pasukan paling digeruni ketika itu walaupun membawa reputasi sebagai pasukan dari Liga perdana.

Bayangkan dengan pengalaman yang dimiliki Amri serta semangat juang dan kelincahan yang dimiliki Andik, Selangor saya rasakan sudah bersedia mencabar kembali kejuaraan liga di pusingan kedua ini.

Dengan ketajaman yang dimiliki Forkey Doe, serta kekentalan yang dimiliki Razman Roslan yang akan mempertahankan kubu Selangor sebelum Khairul Azhan Khalid, Saya rasakan Selangor sudah miliki ramuan terbaik untuk kembali digeruni dengan kekuatan yang juga bakal dipacu tenaga muda yang kian menyerlah.

Apapun, kita nantikan sama ada gandingan ini mampu menyerlah dalam pusingan kedua Liga Super bermula 24 Mei ini.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen