Selamat pagi cikgu, coach!

Oleh Bazly Azmi 16 May 2018 1249
Selamat pagi cikgu, coach!
Ada dalam kalangan kita yang terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Ada yang siang bekerja sebagai kakitangan kerajaan, malam berniaga.

Ada yang berniaga di pasar, malam sebagai pengawal keselamatan.

Ada atlet negara, pagi berlatih, petang sebagai pendidik, malam kembali berlatih.

Itu realiti kehidupan, cara masing-masing untuk mencari sesuap nasi yang halal.

Siapa yang tahu bahawa beberapa atlet negara bertugas sebagai guru? Mereka bijak membahagikan masa untuk mengimbangi jadual sesi latihan, mengajar dan keluarga.



Antaranya, kapten hoki negara, Sukri Mutalib, Syahir Asraf Rosli (ragbi) dan Puah Pei San (bola jaring).

Apa yang menarik, ketiga-tiganya berjaya dalam sukan masing-masing.



Contohnya Sukri. Dia berjaya membantu Malaysia layak ke Piala Dunia, pingat emas Sukan SEA dan baru-baru ini dipilih sebagai Ikon Guru Malaysia 2018.

Guru Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini meletakkan penanda aras tinggi kepada rakan atlet lain untuk berdiri setaraf guru yang memiliki rekod melahirkan pelajar cemerlang.

"Ini satu penghargaan tinggi. Saya percaya jika seseorang itu ikhlas dalam melaksanakan tugas sama ada sebagai pendidik atau menyarung jersi negara, mereka akan dirahmati tuhan.

"Anugerah ini pembakar semangat untuk saya menghadapi cabaran dalam kedua-dua bidang," kata Sukri.

Saya harap Kementerian Pendidikan Malaysia lebih menghargai guru yang juga atlet negara. Mereka umpama permata yang cukup bernilai.

Mereka sanggup keluar daripada persepsi bahawa guru memiliki banyak cuti. Mereka sanggup melakukan pelbagai pekerjaan demi maruah negara dan anak bangsa.

Mereka ini golongan "Selamat Pagi Cikgu", "Selamat Petang Coach".

Begitu juga dengan guru-guru yang sanggup mengorbankan cuti sekolah untuk melatih anak murid di padang.

Mereka ini selalunya golongan yang tidak di dendang di peringkat nasional.

Selamat Hari Guru!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen