Selamat kembali legenda!

Oleh Dayang Zainatull 12 March 2019 996
Selamat kembali legenda!
Ura-ura siapa bakal mengisi tempat pengendali Real Madrid akhirnya terjawab apabila lagenda Los Blancos, Zinedine Zidane secara rasminya diperkenalkan oleh Real Madrid untuk mengisi jawatan kerusi panas ketua jurulatih.

Kembalinya juara Piala Dunia 1998 itu mengejutkan banyak pihak yang tidak menyangka, Zidane akan kembali menerajui Real Madrid disaat tiada apa lagi yang boleh dikecapi melainkan menghabiskan baki 11 perlawanan liga. Real Madrid sudah pun tersingkir dari saingan Liga Juara Juara Eropah dan juga Copa Del Ray dan Dayang percaya, tugas sebenar Zidane akan mula dinilai apabila musim baru bermula nanti.

Sebelum perlantikan Zidane, satu lagi nama iaitu Jose Mourinho turut disebut-sebut bakal dilantik semula, namun nama Mourinho terpaksa diketepikan apabila beberapa pemain tonggak menyatakan hasrat mahu meninggalkan kelab andai Mourinho kembali ke Santiago Bernabeu. Mourinho juga sewaktu meninggalkan Real Madrid dahulu turut meninggalkan banyak masalah besar.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang terdesak mahu mengembalikan kelab ke prestasi terbaik selepas kegagalan Julen Lopetegui dan Santiago Solari mengemudi kelab meraih kemenangan akhirnya akur memilih Zinedine Zidane yang bersetuju menandatangani kontrak tiga tahun sehingga Jun 2022.

Dayang percaya Zidane akan berdepan cabaran getir untuk meletakkan Real kembali digeruni pihak lawan. Tambahan pula, Real Madrid sebenarnya memerlukan revolusi bagi menggantikan beberapa pemain lama dengan muka baru, selain mencari ubi-ubi muda yang akan digilap untuk menjadi pemain bintang. 

Zidane mungkin sudah mula boleh melupakan kudrat lama seperti Karim Benzema, Luka Modric dan Toni Kross, dan pemain sedang meningkat naik seperti Marcus Rashford, Andrew Robertson dan Kylian Mbappe harus menjadi sasaran utama Real Madrid andai mereka mahu kembali bersaing dengan pasukan pasukan ternama Eropah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen