Selamat bersara pembelian terbaik Red Devils pada 2006 

Oleh 20 March 2018 15379
Selamat bersara pembelian terbaik Red Devils pada 2006 
Pengumuman persaraan Michael Carrick pada penghujung musim ini secara tidak langsung membuatkan warisan Sir Alex Ferguson bersama Manchester United semakin berkurangan. 

Carrick merupakan antara sisa terakhir pembelian Fergie sejak pengurus legenda dari Scotland itu meninggalkan jawatan yang disandangnya sejak 1986. 

Pembelian Carrick dari Tottenham Hotspur pada 2006 dianggap pembelian pelik pada masa itu, apatah lagi The Red Devils melepaskan Roy Keane selain kehilangan Paul Scholes yang cukup berpengaruh di bahagian tengah.

Tanpa dua watak itu, ramai yang menjangkakan United akan membuat pembelian pemain bertaraf dunia, lebih-lebih lagi selepas mereka sekadar mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga. 

Begitupun, tanpa perlu menekan butang panik, Ferguson hanya berbelanja £18.6 juta (RM102.2j) untuk mendapatkan Carrick. 

Langkah Ferguson itu dipertikai sepanjang tempoh enam bulan terawal, dengan pengurus itu terpaksa memekakkan telinga dan hampir setiap perlawanan, perlu menjelaskan kepada media mengenai kepentingan Carrick terhadap perancangannya.

Ferguson sedar, penyokong United cukup sininom dengan aksi lasak daripada sang jeneral seperti Keane, sebaliknya Carrick menawarkan watak yang berbeza.

Lantaran itu, ia memberi ruang buat Ferguson merencana dimensi berbeza terhadap corak permainan United ketika itu. 

Kehadiran Carrick memberikan kestabilan dan hantaran-hantarannya bukan sahaja memberi lebih ketenangan kepada United, bahkan lebih cengkaman di bahagian tengah. 

Lembik, itu rumusan segerombolan penyokong terhadap kualiti awal Carrick. Namun, selepas 12 tahun di Old Trafford, Carrick telah beraksi sebanyak 463 perlawanan selain mengumpul lima kejuaraan EPL, dua Piala Liga Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara (UCL). 

Ramai pemain dalam LaLiga menjadikan gerakan Carrick sebagai rujukan permainan tengah yang berkesan dan pada masa sama, nampak mudah. 

Pep Guardiola misalnya, sebaik menjulang Liga Juara-Juara 2011 bersama Barca, melabel Carrick satu-satunya pemain lawan yang berkemampuan menyinar dalam falsafah skuad tika-taka amalannya. 

Kini mencecah usia 37 tahun, bekas produk akademi terkenal West Ham itu bakal menggantung but sejak bergelut dengan masalah degupan jantung yang mula dialaminya setahun lalu. 

Musim depan, dia hampir pasti kekal di Old Trafford, tetapi kali ini bukan lagi sebagai pemain, sebaliknya beralih ke bidang kejurulatihan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen