Selamat bersama Liverpool, Adrian

Oleh Suzana Basri 15 August 2019 3383
Selamat bersama Liverpool, Adrian
Menjadi penjaga gol simpanan kepada penjaga gol terbaik dunia, Alisson Becker, pemain Sepanyol, Adrian sudah pasti tidak menjangkakan dia akan menjadi wira Liverpool selepas hanya 9 hari bersama pasukan tetapi apabila berada dalam situasi yang memerlukan dia memilih sama ada menjadi punca kemenangan atau kekalahan, Adrian mengambil tindakan tepat yang menyaksikan dia akan cepat diterima di Anfield.

“Selamat Datang ke Liverpool”

Itu perkataan pertama yang keluar dari mulut bekas pemain West Ham United ini ketika ditemuramah wartawan BT Sport selepas memastikan Liverpool merebut kejuaraan Piala Super UEFA 2019 dengan menundukkan Chelsea di penentuan penalti.

Berbekalkan pengalaman 51 minit menggantikan Becker yang cedera di bahagian betis ketika Liverpool menang selesa 4-1 keatas Norwich City pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris, Adrian diletakkan dalam kesebelasan utama pada penampilan keduanya yang dianggap seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

Namun dalam tempoh itu Adrianlah yang bertanggungjawab melepaskan sebiji gol kepada Teemu Pukki - menyaksikan penampilannya di Istanbul ini sukar diramal dan mencetus debaran berpanjangan.

Masakan tidak, dua kesilapan Adrian - menjatuhkan Tammy Abraham didalam kotak penalti dan gagal menghalang sepakan Jorginho telah mengakibatkan Chelsea mengikat Liverpool 2-2 sekaligus mengheret permainan ke penentuan penalti - sama seperti peristiwa 14 tahun lalu, ketika Istanbul menjadi saksi Liverpool bekerja keras menundukkan AC Milan untuk kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Tindakan Adrian itu dilihat mensia-siakan perubahan taktikal yang mungkin sengaja dilakukan Jurgen Klopp pada separuh masa kedua dengan kemasukan Roberto Firmino menyertai Mohamed Salah dan Sadio Mane yang jelas mencetus situasi kelam kabut di kem The Blues.

Dan keengganan pengendali Liverpool itu mengambil risiko pada penentuan penalti dengan menurunkan 5 taruhan terbaiknya, termasuk Fabinho, Divock Origi dan Trent Alexander-Arnold meletakkan Adrian pada situasi hidup atau mati.

Lebih mendebarkan apabila Adrian perlu sekali lagi berdepan individu yang meletakkan dia dan pasukannya dalam bahaya - Tammy Abraham - pada sepakan kelima. Namun kali ini, Adrian lebih bersedia menepis sepakan dihadapan rakan-rakan sepasukan yang mengharapkan magisnya, terutama Sadio Mane yang telah menyumbang dua gol dalam perlawanan ini.

“Saya sangat gembira kerana Liverpool berjaya menjulang piala ini. Saya sangat gembira kerana bermain untuk Liverpool dan berjaya menggembirakan semua penyokong. Ia perlawanan yang panjang tetapi saya gembira pengakhirannya memihak kami.”

Bukan mudah untuk Adrian diterima sepenuhnya bersama Liverpool tetapi segala yang berlaku di Istanbul cukup berbaloi buat Adrian, mahu pun pasukan yang mementingkan kerjasama menerusi tagline 'You’ll Never Walk Alone' - kini Liverpool bukan ada seorang tetapi dua penjaga gol yang boleh diharapkan untuk misi menjulang kejuaraan domestik yang hanya dipisahkan dengan satu mata musim lalu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen