Sejarah kelab tidak lagi jadi keutamaan

Oleh Ammar Hakim 31 October 2019 2071
Sejarah kelab tidak lagi jadi keutamaan
Dua puluh kali juara liga, 33 kali menang piala liga, dan kejuaraan ‘trebl’e yang pernah diraih sesebuah kelab, bukan lagi tarikan buat pemain-pemain yang meningkat naik di pentas antarabangsa mahupun di Malaysia.

Contoh mudah, Manchester United -- kelab Inggeris yang mendominasi England serta Eropah ketika di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan selepas beliau mengambil keputusan untuk bersara pada 2013, The Reds Devils masih lagi bergelut untuk mencari kestabilan daripada segi kualiti pemain serta pengendali yang mampu memberikan impak kepada pasukan (sesuatu yang sukar untuk dinafikan).

Kemudian, hadirnya individu bernama Sheikh Mansour, antara pemilik kelab terkaya di dunia yang memiliki misi untuk menaikkan jiran United, Manchester City, sebagai salah sebuah pasukan elit dunia.
Bermula dari era Roberto Mancini, mereka mula membuktikan kemampuan bahawa "kuasa duit" mampu membeli kejuaraan. Mengambil khidmat pemain-pemain berkualiti di serata Eropah dan ditambah pula dengan trofi yang diraih, membenarkan pemain-pemain mula membuka mata.

Kini, di bawah kendalian Pep Guardiola, bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich, menyempurnakan The Citizens dengan pendekatannya yang dilihat sukar diatasi, ditambah pula dengan barisan pemain yang dimiliki ketika ini.

Berdasarkan penulisan di Bleacher Report, bekas pemain, Roy Keane, meluahkan kebimbangannya dalam usaha Manchester United untuk memperoleh barisan pemain yang berkualiti untuk memperkuatkan pasukan.

"Prestasi kurang konsisten United membuatkan ramai pemain berkualiti mula berkira-kira untuk menyertai United. Terdapat pilihan lain di luar sana dengan kebarangkalian yang lebih tinggi untuk memenangi trofi."

Cerita yang tidak kurang bezanya dalam kancah tempatan dan menerusi Bernama, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bertitah JDT adalah destinasi tepat buat pemain tempatan yang memburu kejayaan serta mempunyai impian besar sebagai seorang pemain bola sepak.

"Kalau nak main setiap perlawanan, pergi PKNP FC dan Felda United. Anda akan dapat kesebelasan pertama bola sepak setiap perlawanan," titah baginda.

"Tetapi jika anda mahu menjadi juara, sertailah JDT. Peluang tinggi untuk menang, peluang tinggi untuk menambah lagi trofi dalam almari awak dan pada masa yang sama awak mendapat pendedahan yang baik bermain dalam ACL (Liga Juara-Juara Asia AFC)."

"Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, awak perlu berjuang untuk mendapatkannya. Itu yang menjadikannya seorang pemain bola profesional. Tetapi kalau sebagai pemain dan tak nak bertarung untuk dapatkan tempat, jadi awak tidak akan menjadi baik, pasal awak (pemain) akan berada dalam kedudukan selesa."

JDT telah meraih keseluruhan 13 gelaran di peringkat domestik dan Asia sejak 2013 dengan pencapaian tertinggi menjuarai Piala AFC 2015 selain melakar rekod gemilang memenangi kejuaraan Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut.

Selain rekod kejuaraan, JDT juga adalah pasukan tempatan yang meletakkan kepentingan kemudahan latihan dan pemulihan mengikut prosedur sains sukan sebagai keutamaan.

Ada benar apa yang dikatakan oleh Tunku Ismail, setiap pemain haruslah berusaha untuk bersaing mendapatkan tempat dan membuktikan kemampuan mereka beraksi di tahap tertinggi.

Buat masa ini, hanya JDT yang memiliki kelebihan daripada setiap aspek untuk menjanjikan kejayaan bagi mana-mana pemain dan inisiatif ini haruslah diguna pakai oleh pasukan-pasukan tempatan lain untuk "berbelanja lebih" untuk seiring dan menghidupkan kualiti persaingan yang lebih kompetitif dalam bola sepak tempatan.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen