Sedia undur tetapi masih mahu diberi peluang

Oleh 15 November 2017 110
Sedia undur tetapi masih mahu diberi peluang
Sebaik sahaja keluar di pintu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam dari Thailand selepas aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara, dapat dirasai suasana hambar mengiringi kepulangan skuad bola sepak negara. 

Riak wajah yang sama juga saya dapat lihat daripada pasukan dan pengendali bola sepak negara, Nelo Vingada, sewaktu mereka tiba di KLIA selepas aksi berdepan Hong Kong bulan lalu. 

Vingada seakan-akan masih mengingati soalan yang saya ajukan kepadanya sebelum ini, adakah dia bersedia untuk letak jawatan selepas pelbagai desakan diterima apabila tewas 0-2 berdepan Hong Kong dan jawapannya adalah, “belum tiba masanya lagi”.

Tertanya-tanya juga adakah jawapan yang sama bakal diberikan jurulatih dari Portugal ini apabila kami menyambut ketibaan mereka selepas aksi berdepan Korea Utara. 

Secara tersurat, Vingada menyatakan sekiranya dia ambil keputusan untuk letak jawatan mampu menyelesaikan masalah skuad negara, dia bersedia melakukan demikian. 

“Siapkan surat dan saya tidak akan teragak-agak untuk menandatanganinya.”

Tetapi, secara tersiratnya, jurulatih yang digelar 'Profesor ini masih lagi mahu dirinya diberi peluang selain menegaskan dia tidak melabel dirinya gagal selaku jurulatih kerana apa yang berlaku adalah di luar jangkaan berikutan kekangan masa untuk melakukan persiapan punca kekalahan anak buahnya kepada pasukan yang lebih mantap. 

Keputusan mungkin akan menjadi lebih baik jika mereka lebih melakukan persiapan rapi dan dia juga mempunyai lebih banyak masa untuk uji terlebih dahulu kombinasi pemain dalam kesebelasan utama. 

Kesimpulannya, Vingada masih utuh dengan pendiriannya yang tetap positif masih mampu membawa pasukan negara di tahap terbaik. 

Letak jawatan bukanlah jalan penyelesaian dan misi 2018 di pentas Piala Suzuki AFF tetap diambil serius olehnya.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen