Saya sokong pemain naturalisasi   

Oleh Hafiz Wahid 15 November 2017 555
Saya sokong pemain naturalisasi   
Rekod pasukan kebangsaan pada tahun 2017 ditutup dengan penuh kesuraman tanpa sebarang kemenangan.
 
Dua perlawanan terakhir menentang Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia menyaksikan skuad negara dikecewakan dengan keputusan yang sama, 4-1.
 
Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia terperosok di tangga terbawah Kumpulan B dengan hanya  satu mata selepas lima perlawanan.
 
Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada telah diamanahkan tugas membawa Harimau Malaya keluar daripada kemerosotan prestasi pada pertengahan Mei lalu.
 
Namun, pengendali yang memiliki pengalaman luas 35 tahun itu dilihat gagal membawa pasukan ini keluar daripada zaman kegelapan.
 
Tenat sungguh keadaan kem kebangsaan ketika ini.
 
Malah, ramai netizen yang menganggap andai pengurus nama besar seperti Sir Alex Ferguson mahupun Pep Guardiola membawa Malaysia sekalipun, keputusannya tetap sama.
 
Yang tu saya sokong sebab dulu Claude Le Roy pernah membawa Malaysia tetapi gagal. Dia kemudiannya membawa Cameroon sehingga layak ke Piala Dunia.

Nak salahkan FAM? Rasanya TMJ selaku presiden dah lakukan yang terbaik, termasuk menukar jurulatih baru. Nak salahkan pemain? Kelompok pemain yang dipanggil itulah yang terbaik di Malaysia ketika ini. Jadi, nak salahkan siapa lagi?
 
Mungkin sudah tiba masanya untuk katakan “ya” kepada pemain naturalisasi.
 
Penulis antara yang menyokong cadangan pemain naturalisasi ini jika dilaksanakan.
 
Cuma,penulis berasakan ia merupakan pelan jangka pendek, sekurang-kurangnya bagi mengembalikan keyakinan pemain tempatan.
 
Tidak salah rasanya memberi kerakyatan kepada pemain import yang menyerlah dalam Liga Malaysia yang masih belum memiliki kap kebangsaan.
 
Matlamatnya mudah, untuk memberi anjakan paradigma dan seterusnya  menaikkan kembali ranking pasukan kebangsaan.
 
Bukan sewenang-wenangnya beri kepada mana-mana pemain luar setiap tahun.
 
Bila ranking naik, baru senang nak cari pasukan untuk perlawanan kelas A.
 
Mungkin boleh memilih dua atau tiga pemain import, bina pasukan kebangsaan di sekelilingnya.
 
Yalah, sementara kita nak menunggu anak-anak muda bawah 16 hingga 19 tahun kutip pengalaman dalam kejohanan besar.
 
Bab pembangunan, rasanya kita dalam landasan yang betul.
 
Skuad B-16, B-19 dan B-23 kesemuanya layak ke kejohanan peringkat Asia secara merit.
 
Mungkin pemain-pemain naturalisasi ini  boleh memberi tunjuk ajar kepada anak-anak muda ini apabila diserap dalam pasukan kebangsaan.
 
Jadi, dari situ, kita boleh bina semula skuad negara dengan menggunakan kelompok pemain-pemain muda ini.
 
Ketepikan Thailand dan Vietnam, lihat kepada kelompok negara Asia lain, kebanyakannya menuju kepada naturalisasi pemain.
 
Filipina yang dulu pasukan belasahan, kini menghuni ranking paling tinggi FIFA dalam kalangan pasukan Asia Tenggara di kedudukan ke-116.
 
Beberapa pemain Filipina turut berkelana dalam liga luar negara, sekurang-kurangnya memberi dimensi baru dalam pasukan kebangsaan.
 
Pendedahan liga luar mampu memberi kelebihan daripada aspek teknikal seseorang pemain.
 
Kalau nak tunggu pemain Malaysia berkelana di luar, susah sikit. Nanti rindu keluarga la, nasi lemak la, sambal belacan la.
 
Belum ada lagi pemain yang betul-betul bertekad dan boleh tahan dugaan.
 
Ini pandangan peribadi penulis, bukan mewakili mana-mana pihak.
 
Kalau tidak sokong, tak mengapa.
 
Tetapi, tidak salah kita mencuba, kan?

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen