#saveLTK atau #savebolasepakmalaysia?

Oleh Hasnizam Uzir 15 August 2019 1316
#saveLTK atau #savebolasepakmalaysia?
Sejak disiarkan berita bahawa kontrak Lim Teong Kim sebagai pengarah teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) tidak akan dilanjutkan, netizen menyambutnya dengan negatif.

Kempen tanda pagar save LTK atau #saveLTK dilancarkan dan dihantar ke setiap kiriman berita dan kemas kini yang dimuat naik oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan laman rasmi media sosial Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) atau lebih dikenali sebagai NFDP.

Isu ini timbul kerana beberapa sebab.

Pertama, pengurusan NFDP terdahulu tidak pernah mengumumkan kepada orang ramai bahawa Teong Kim, walaupun diberi kenaikan gaji, ditugaskan menumpu perhatian kepada kumpulan pemain peringkat umur Bawah 13 hingga Bawah 17 tahun di AMD. Maknanya, mungkin tidak sampai 200 pemain di bawah kendalian Teong Kim yang diuruskan secara harian.

Padahal, ketika dia dibawa pulang dari Bayern Munich pada 2013, Teong Kim dilantik sebagai Pengarah NFDP yang diuar-uarkan mengurus bakat hampir 20,000 remaja (jumlah yang diunjurkan pada 2014) seluruh negara.

Apa yang berlaku ketika itu?

Pengurusan NFDP membawa masuk Saad Ichalelene pada 2016, pada masa yang sama Teong Kim dipindahkan ke Gambang. Saad yang pernah bertugas sebagai jurulatih remaja Paris St Germain (PSG), ditemani Franck Plaine dan Abdifitaah Mohamad Hassan.

Malang sekali kehadiran mereka tidak pernah diumumkan kepada orang ramai, sedangkan NFDP yang kita tahu dibiayai secara bersama oleh kerajaan menerusi duit pembayar cukai.

Sebagai bapa yang mempunyai dua anak yang mengikuti program akademi tunas Wangsa Maju, penulis mengikuti perkembangan NFDP dengan rapat.

Pada masa ini, peminat memikirkan Teong Kim masih lagi bertanggungjawab mendidik keseluruhan anggota program NFDP.

Tanggungjawab bekerjasama rapat dengan penyelaras zon, ketua jurulatih remaja negeri (KJRN) dan jurulatih di peringkat akademi tunas (AT), pusat latihan daerah (PLD) dan sekolah sukan negeri (SSN) sebenarnya jatuh di bahu Saad sejak 2016. Saad dan rakan-rakannya yang meninjau bakat bersama jurulatih dan penyelaras zon di peringkat akademi tunas dan yang terbaik disyorkan untuk diserapkan ke dalam AMD.

Maknya, DNA yang cuba disemai oleh pengurusan NFDP ditanam oleh Saad dan rakan-rakannya ketika Teong Kim glamor melatih kelompok pemain terbaik di Gambang.

Ramai tidak sedar bahawa gaji Teong Kim menelan hampir 20 peratus daripada keseluruhan bajet tahunan NFDP.

Memang betul untuk dua tahun pertamanya di NFDP, Teong Kim secara langsung mengasah bakat generasi perintis yang asalnya dikenal pasti oleh abangnya Lim Kim Chon menerusi NFDP yang dilancarkan pada 2010 dan kebanyakannya berada di tingkatan lima ketika ini.

Teong Kim juga cuba menerapkan budaya kerja yang berlainan sesuai dengan suasana prestasi tinggi di Jerman tetapi ramai pula jurulatih yang tidak terikut rentaknya.

Sehebat manapun seorang individu, seperti setiap barangan, ada tarikh luputnya.

Jurulatih yang memiliki kelayakan hebat seperti Teong Kim tidak ada masalah untuk mencari kerja lain sebenarnya. Beliau boleh pulang ke Bayern Munich atau kelab sekitarnya. Mungkin satu hari kelak beliau kembali sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Kita kena ingat, tiada individu lebih besar daripada institusi bola sepak. Lagipun hari ini anda di puncak, esok anda di bawah. Lusa mungkin anda kembali mendaki ke puncak. Tulat anda mungkin jatuh semula.

Bagi kelangsungan NFDP, tanda pagar sebenar yang harus diperkenalkan oleh warga maya ialah #savebolasepakmalaysia, bukan #saveLTK.

Pencinta sejati bola sepak menyanjung sukan itu, bukan mana-mana individu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen