Sanchez tidak lebih satu pembaziran

Oleh Shaukei Kahar 24 September 2018 3963
Sanchez tidak lebih satu pembaziran
Tiada gol, tiada sinar… dan tiada alasan. Alexis Sanchez ternyata gagal mengangkat dirinya setaraf dengan gaji besarnya yang dibayar Manchester United. 

Ia sudah genap lapan bulan sejak United mengumumkan ketibaan Sanchez daripada Arsenal dengan segala keriuhan menepati pembelian besar kelab itu pada masa lalu – dan akhbar The Telegraph tidak terhindar daripada analisis mengkritik hebat pemain itu.

Penyerang Chile itu difilemkan bermain piano dengan lagu “Glory, Glory Man United” sebagai memperkenalkannya kepada warga Old Trafford.

Susulan daripada itu, Naib Pengerusi United, Ed Woodward, mengumumkan kepada pelabur bahawa video menerusi Twitter itu mengundang 75 peratus lebih interaksi media sosial daripada perpindahan rekod dunia £198 juta (RM1.07 bilion) Neymar ke Paris St-Germain (PSG).

Sanchez dibayangkan sebagai pemain yang mampu menggerakkan serangan United mengikut gerak tarinya menjana gerakan.

Sebaliknya, satu-satunya nada yang kedengaran dari Old Trafford hujung minggu lalu selepas keputusan seri 1-1 dengan Wolverhampton Wanderers, adalah keluhan panjang kekecewaan mengiringi satu lagi prestasi hambar Sanchez.

Di luar padang, dia mungkin seorang pemecah rekod. Tapi di atas padang, jualan jersinya yang banyak, tidak bermakna apa-apa kepada penyokong.

Ramai yang kini mengandaikan dia tergolong dalam senarai pemain yang mengecewakan dalam era selepas Sir Alex Ferguson.

Sebagai perbandingan, Chris Smalling telah menyumbat gol tiga kali sejak Sanchez kali terakhir menemui jaring dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk United – kebuntuan yang telah berlarutan selama 829 minit.

Malah, sejak Sanchez menjaringkan gol pertama daripada tiga jaringannya untuk United pada 26 Januari lalu, Mohamed Salah telah meledak 23 kali untuk Liverpool, Sadio Mane 15 kali, Eden Hazard menyumbat 10 gol untuk Chelsea sambil Raheem Sterling menyumbat lapan kali buat Manchester City.

Dalam pada itu, kekurangan Sanchez tidak hanya berkisar kepada ketandusan jaringannya, sebaliknya lebih kepada kekurangan sinar dalam permainannya.

Malah, sudah kerap juga dipersendakan bahawa jika dia tidak mudah kehilangan bola, maka dia akan memandang ke tanah sambil bergerak melulu secara membabi-buta dengan ke tembok pertahanan lawan.

Apakah itu yang layak didapati United dengan membayarnya £500,000 (RM2.72 juta) seminggu?

Penyokong United tidak pun ragu-ragu dengan jawapan mereka.

Alahai Sanchez!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen