Sanchez ‘si canggung’ dalam jersi merah United (2)

Oleh 25 March 2018 1911
Sanchez ‘si canggung’ dalam jersi merah United (2)
Bermurung dan menyendiri selama bersama Manchester United, Alexis Sanchez kembali “ligat” ketika menyertai rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Chile minggu ini.

Ia petanda api semangat di dalam dirinya masih belum terpadam dan mungkin menjadi pemangkin kepada persembahan lebih bertenaganya sekembalinya ke Old Trafford seminggu lagi selepas satu lagi perlawanan persahabatan dengan Denmark, Rabu ini.

Di sebalik gagal menyumbang jaringan dalam kemenangan 2-1 Chile ke atas Sweden dalam perlawanan persahabatan awal pagi tadi, kehadiran Sanchez – yang awalnya berat hati untuk menyertai perlawanan itu – rata-rata dianggap memberi inspirasi kepada pasukan kebangsaannya.

Pemain berjersi no. 7 United itu secara terbuka mengakui bergelut untuk menyesuaikan diri dengan hidup baru di Manchester dan pada mulanya mahu mengasingkan diri daripada pasukan Chile untuk mengatasi masalahnya di peringkat kelab terlebih dahulu.

Silapnya, kata Sanchez, adalah perpindahan pertengahan musim ketika jendela perpindahan bulan Januari yang serba menyukarkan sebagai satu-satunya punca tahap kecemerlangannya merudum ke tahap yang tidak pun dijangkakan.

“Sebagai seorang yang sentiasa menuntut yang terbaik daripada diri sendiri, saya menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada ini,” katanya seperti dipetik oleh Daily Mail. “Pertukaran kelab adalah terlalu mendadak.

“Ini adalah kali pertama saya bertukar kelab pada bulan Januari tapi banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup saya yang sebenarnya sukar.”


Sanchez beraksi dalam kemenangan 2-1 Chile ke atas Sweden di Stockholm, awal pagi tadi

Sanchez, 29, mendedahkan dia meminta izin jurulatih baru Chile, Reinaldo Rueda, untuk diberi pelepasan daripada kedua-dua perlawanan persahabatan itu bagi mengatasi masalahnya tetapi kemudian mengubah pendirian selepas dinasihati oleh penjaga gol Manchester City dan Chile, Claudio Bravo.

“Saya telah meminta pelepasan daripada jurulatih (Chile) tapi selepas memikirkannya semula, saya memutuskan adalah lebih baik untuk bersama skuad kebangsaan bagi melupakan seketika masalah di kelab,” katanya.

Ia harus satu keputusan yang tidak disesalinya.

Sejurus menyertai rakan sepasukan Chile di Stockholm pada pagi Rabu lalu, dia kelihatan gembira bergambar bersama skuad La Roja.

Memuat naik foto ketika bersarapan bersama Eduardo Vargas, Mauricio Isla dan Charles Aranguiz melalui Instagram, Sanchez seakan-akan benar-benar menikmati saat berkenaan berbanding dirinya yang berlawanan di United.

Sejak menyertai The Red Devils dalam perjanjian pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan ke Arsenal, Sanchez jauh di bawah tahap sebenar. Gol tunggalnya adalah susulan daripada sepakan penaltinya yang ditampan ketika menentang Huddersfield di Old Trafford bulan lalu.

Statistik juga menunjukkan dia kehilangan bola sebanyak 247 kali – 100 kali lebih banyak daripada mana-mana rakan sepasukan sejak ketibaannya – di samping menghasilkan hanya separuh daripada jumlah percubaan berbanding ketika bersama Arsenal sebelumnya.

Mujur buat Sanchez, pengurus Jose Mourinho masih menaruh kepercayaan kepadanya dalam pada United mahu mengelakkan dia menjadi pemain termahal kedua selepas Angel Di Maria yang dikenang kerana kegagalan di Old Trafford.

Sanchez bukan hanya perlu membuktikan pembeliannya berbaloi, malah perlu membuktikannya dengan segera.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen