Sanchez ‘si canggung’ dalam jersi merah United (1)

Oleh Asmawi Bakiri 25 March 2018 4975
Sanchez ‘si canggung’ dalam jersi merah United (1)
Alexis Sanchez mungkin kini menyesali pilihannya ke Manchester United berbanding bidaan awal untuknya ke musuh setempat, Manchester City.

Selepas 10 perlawanan dengan hanya satu gol untuk ditunjukkan, pemain antarabangsa Chile itu semakin dikenali sebagai ‘si canggung’ dalam jersi merah United.

Andai memilih untuk menyarung jersi biru langit City di bawah kemesraan pengurusnya, Pep Guardiola, Sanchez barangkali lebih menonjol dengan bergilir-gilir membuat jaringan bersama Sergio Aguero, Gabriel Jesus, Leroy Sane, Kevin De Bruyne dan David Silva ketika ini.


Sanchez barangkali akan lebih gembira dalam jersi biru The Citizens



Namun, begitulah nasib seorang pemain bola sepak yang tidak mampu meramalkan masa depan, dengan sebarang pilihan yang silap boleh membawa padah yang berpanjangan.

Sebaliknya, persembahan hambarnya hingga dipinggirkan dalam kemenangan United ke atas Brighton and Hove Albion, Ahad lalu, Sanchez – pemain bergaji terbesar dengan £600,000 (RM3.3 juta) seminggu – dikhuatiri The Red Devils akan gagal seperti Angel Di Maria di kelab itu sebelumnya.

Staf kelab turut terkejut dengan perilaku kurang keyakinannya di padang latihan di Carrington sambil Sanchez sering dilihat bermurung dan menyendiri hingga sering makan berseorangan tanpa ditemani rakan-rakan sepasukan.

Apa yang menghairankan, Sanchez yang mewarisi jersi legenda nombor 7 di United, mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru dan persekitaran barunya.

Sedangkan pemain berusia 29 tahun itu sebelumnya dikenali sebagai seorang pemain beriltizam tinggi dan sangat berkesungguhan. Sebaliknya, bersama United, dia seorang yang gemar menikus.

Sesetengah pihak sudah pun mengandaikan Sanchez tersalah pilih pasukan dalam keghairahannya untuk segera meninggalkan Arsenal ketika jendela perpindahan pertengahan musim – satu tempoh yang lazimnya dianggap menyukarkan seorang pemain untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru.

Ini mendorong perbandingan segera dibuat di antaranya dan Di Maria, yang menyertai United dengan rekod perpindahan British bernilai £59.7 juta (RM330 juta) pada 2014 tetapi membawa haluan ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan yuran £44 juta (RM244 juta) hanya selepas semusim yang mengecewakan di England.

“Dia (Sanchez) kelihatan seperti seseorang yang enggan berada di sini,” kata satu sumber United kepada Daily Mail. “Segala-galanya serba tak kena buatnya dan dia seperti seorang kanak-kanak yang tersesat. Keadaannya sama seperti Di Maria dulu.”

Dia juga dikatakan hanya berbual dengan rakan sepasukan yang bertutur bahasa Sepanyol sambil mengasingkan diri daripada pemain selebihnya.

Pengurus, Jose Mourinho, bagaimanapun, masih boleh bersabar dengan mengandaikan pasukan tidak akan melihat yang terbaik daripada bintang Chile itu sehingga musim depan.

Ada juga andaian di United bahawa Sanchez – dianggap seorang pemain sangat berbakat yang mampu mencetus magis dalam latihan tapi belum mengulanginya dalam perlawanan sebenar – akan lebih menyerlah dengan peranan di tengah-tengah berbanding di bahagian sayap.

Dalam pada itu, Sanchez juga harus menyedari kesabaran Mourinho biasanya tidak panjang.

(BERSAMBUNG)

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen