Sanchez sertai Man United untuk menang segalanya

Oleh Hafizal Hamad 19 February 2018 2917
Sanchez sertai Man United untuk menang segalanya

Seperti semua perpindahan, peralihan Alexis Sanchez ke Manchester United, berkisar kepada wang.

Pada usia selewat 29 tahun, dia kini memegang status pemain bergaji paling besar dalam Liga Perdana Inggeris dengan pendapatan sekitar £500,000 (RM2.73 juta) seminggu – yang diakui bekas pengurusnya di Arsenal, Arsene Wenger, tidak mampu disainginya. 

Dalam pada itu, seperti kebanyakan perpindahan, ia turut berkisar kepada cita-cita -- Sanchez jelas semakin hampa dengan kegagalan Arsenal untuk melangkaui kejayaan menjulang Piala FA.

Lebih daripada itu, apa yang membezakan tindakannya – lebih daripada kebanyakan perpindahan – berkisar kepada hierarki, dengan menuntut tempatnya dalam senarai keutamaan, dan ringkasnya berkisar kepada kuasa.

Lantaran itulah, Sanchez menegaskan keputusannya membawa haluan ke Manchester United didorong oleh keinginan untuk memenangi segalanya.

Dalam temubual eksklusifnya bersama Thierry Henry menerusi Sky Sports, Sanchez berkata dia baru menyedari betapa besarnya sebuah kelab seperti United sejak berpindah ke Old Trafford daripada Arsenal, bulan lalu.

“Saya sudah memikirkan Manchester United sejak kecil dan saya tidak mengatakan ini kerana ketika ini saya berada di sini. Saya fikir ia adalah kelab terbesar di England, ya itulah yang saya fikirkan. 

“Terdapat banyak kelab yang besar dan sesudah bermain untuk Arsenal, mereka juga salah sebuah daripadanya.

“Setelah datang ke United dan melihat lencananya, saya fikir United perlu memenangi segala-galanya kerana ia sebuah kelab gergasi. Lambang kelab ini menceritakan semuanya,” ujarnya.

Sanchez berpindah ke United dalam perjanjian pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan walaupun pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, turut berminat kepadanya.

City berada di landasan untuk memburu empat kejuaraan musim ini tetapi di sebalik peluang lebih besar untuk kejuaraan menuju ke Stadium Etihad, Sanchez tetap percaya United tidak harus dinafikan peluang meraih trofi.

Dan seperti disasarkannya, dia mahu memenangi segala-galanya di Old Trafford.

“Saya datang ke sini untuk memenangi kejuaraan. Saya tinggalkan Arsenal kerana saya mahu berkembang dan belajar sebagai seorang pemain dan meraih pengalaman di sebuah kelab baru.

"Manchester United adalah sebuah kelab besar di peringkat global. Saya datang ke sini untuk menang segala yang ada. Jika tidak kerana itu, saya tidak akan ke sini,” hujahnya.

“Saya juga sangat berbangga untuk menyarung jersi no. 7 United.

“Dan saya tahu ramai orang berkata ada tekanan tambahan memakai jersi itu atau ia mungkin mempunyai badinya sendiri.

“Tapi saya sangat menikmati bola sepak saya, sama ada saya memakai no. 10 atau no. 9, malah no. 14 atau 12!” katanya lagi dalam temubual eksklusif itu.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen