Sama-sama sihat

Oleh Ezreen Isa 24 December 2017 213
Sama-sama sihat
Bukan semua orang berpeluang melihat di depan mata sendiri untuk menyaksikan atlet-atlet sukan mempersiapkan diri mereka untuk kekal cergas bagi mempersembahkan aksi terbaik dalam pertandingan sukan.

Setiap kali ditugaskan membuat liputan, ada perkara-perkara positif yang dapat diambil untuk pengajaran diri sendiri. Melihat ahli sukan berlatih secara tidak langsung menarik minat saya dan rakan-rakan seangkatan yang lain untuk sama-sama kekal sihat.

Tetapi, mungkin ramai yang tidak tahu betapa sukarnya atlet-atlet ini berlatih. Dari segi cara, masa dan keadaan fizikal seseorang atlet yang berlatih perlu diberi perhatian serius, mereka tidak boleh sesuka hati untuk melakukan senaman. 

Setiap sukan ada caranya tersendiri dan dilengkapi dengan peralatan ujian kecergasan yang cangih. Kegigihan mereka berlatih perlu dihargai walaupun mereka tewas dalam pertandingan.

Sebagai pengamal media yang memerhati di belakang tabir, bukan mudah untuk kita mengikuti kelajuan dan kecergasan atlet-atlet ini bergerak. Sudah tentu mereka lebih 'berkuasa' kerana mereka terlatih.

Setiap pergerakan mereka perlu dirakam jurukamera seperti saya dan menjadi tugas wartawan untuk menulis laporan yang betul dengan teliti. Bagi menghasilkan sebuah berita dan visual yang terbaik, kami juga perlu belajar dan mengenal setiap peraturan, pergerakan dan disiplin daripada setiap jenis sukan.

Kini, para pengamal media sukan juga ada kelab-kelab sukan tersendiri seperti kelab bola sepak, badminton dan sebagainya. Barulah pipit boleh terbang dengan pipit, enggang dengan enggang. Bukan nak tunjuk hebat, tapi nak sama-sama sihat.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen