Sama hebat atas balapan dan padang?

Oleh Intan Nor Saina 28 February 2018 6197
Sama hebat atas balapan dan padang?
Dari lapangan balapan ke padang bola sepak. Situasi yang menarik akan dapat kita saksikan apabila pemenang pingat emas Olimpik lapan kali Usain Bolt akan membuat penampilan di Old Trafford sebagai kapten selebriti bersama dengan selebriti bola sepak lain untuk perlawanan bola sepak Aid pada 10 Jun nanti.

"Ini impian saya sebagai pemain bola sepak profesional. Untuk bermain menentang beberapa legenda bola sepak akan menjadi sesuatu yang menarik dan luar biasa," kata pelari berasal dari Jamaica itu.

Dalam perlawanan tersebut, pasukan Usain Bolt akan menentang pasukan England yang akan diketuai oleh penyanyi Robbie Williams yang juga pengasas Soccer Aid.

Sebelum ini, Bolt telah menyatakan hasratnya untuk masuk ke dunia bola sepak profesional selepas bersara daripada lapangan olahraga tahun lepas.

Dan menjelang hujung minggu lalu, beliau telah mengeluarkan ‘tweet’ palsu yang menyebabkan banyak spekulasi terjadi membayangkan beliau akan bermain untuk sesebuah pasukan yang yidak diberitahu namanya. 

"Seelok-eloknya Williams dan pasukan membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlawanan tersebut kerana saya tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka," kata Bolt sambil menambah bahawa dia merancang untuk membuat sambutan istimewa sekiranya pasukannya menang.

"Saya selalu mengatakan bahawa saya mahu mencuba sukan berpasukan kerana acara trek berbentuk individu”.Tambahnya lagi, “Saya mudah memahami dan mengikut arahan sekiranya melakukan sesuatu perkara. Apabila saya mendapat arahan, saya dapat menjalankannya dengan baik," katanya.

Perlawanan Soccer Aid yang diadakan akan memperlihatkan selebriti dan bekas pemain bola sepak bertaraf dunia bermain bersama dalam pasukan yang sama.

Acara yang berlangsung dua kali setahun itu bertujuan untuk membantu kanak-kanak sejak dilancarkan pada 2006. Pertandingan itu telah menyaksikan beberapa lagenda bola sepak dunia seperti Maradona, Alan Shearer dan Ronaldinho bermain bersama selebriti seperti Mark Wright, Jack Whitehall, Olly Murs, Will Ferrell, Gordon Ramsay, Mike Myers dan Craig David.

Persoalannya di sini, siapakah yang mampu untuk mengejar pemegang rekod dunia 100 meter dalam perlawanan itu nanti.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen