Salah jelas satu anugerah

Oleh Shaukei Kahar 26 April 2018 10084
Salah jelas satu anugerah
Rezeki Mohamed Salah bersama Liverpool sedang melimpah-ruah sehingga mendapat pengiktirafan di Tanah Suci Makkah.

Baru dinobatkan selaku Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA), Ahad lalu, disusuli dua golnya dalam kemenangan 5-2 Liverpool ke atas Roma dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi semalam, penghormatan terhadapnya hanya akan berlanjutan.

Terbaru, pemain antarabangsa Mesir berusia 25 tahun itu – ihsan 31 golnya dan 10 bantuan jaringan dalam 33 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan keseluruhan 43 gol dalam semua kejohanan musim ini --  dikhabarkan akan dianugerahkan sebidang tanah di Makkah.

Salah, yang mengatasi pemain perancang Manchester City, Kevin De Bruyne, untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA itu, akan sentiasa dikagumi di dunia Islam dengan identiti sujud syukurnya setiap kali melakukan jaringan.

Fahd Al-Rowky, naib presiden pihak berkuasa tempatan di Makkah, mengumumkan beliau bercadang menghadiahkan Salah satu plot tanah sebagai merakamkan tahniah buatnya selaku warga Mesir pertama memenangi satu anugerah utama dalam bola sepak Inggeris.


Sujud syukur seperti ini sudah menjadi kebiasaan setiap kali Mohamed Salah menjaringkan gol

“Terdapat beberapa pilihan berkaitan penganugerahan satu plot tanah ini,” katanya seperti dipetik melalui My Salaam – satu aplikasi percuma yang menampilkan berita dari seluruh pelosok dunia yang memfokus kepada gaya hidup Muslim. 

“Langkah seterusnya akan ditentukan oleh Mohamed Salah dan sistem di Arab Saudi,” tambah Al-Rowky. “Jika sistem Arab Saudi membenarkan satu plot tanah dimiliki oleh Salah, dia akan dianugerahkan satu di Kota Suci Makkah di luar Tanah Haram.

“Satu lagi pilihan ialah membina sebuah masjid di atas plot tanah berkenaan dan dinamakan sempena dengan namanya,” tambahnya.

Juga dilaporkan dengan meluas dalam media British bahawa Klopp mendedahkan Salah serta dua rakan sepasukannya, Sadio Mane dan Emre Can, diberikan ruang dan masa untuk melaksanakan kewajipan mereka sebagai Muslim.

Dalam wawancara bersama Channel 4 sebelum pertemuan dengan Roma di Anfield itu, Klopp berkata beliau dan pasukannya menghormati tuntutan agama pemainnya, termasuk membenarkan mereka bersolat sebelum perlawanan.

 “Menakjubkan untuk melihat seorang pemuda hebat yang penuh dengan keceriaan, penuh dengan kasih sayang, penuh dengan rasa persahabatan dan penuh dengan segala-galanya,” kata pengurus dari Jerman itu.

 “Dia (Salah) seorang Muslim dan dia melakukan apa yang Muslim lain lakukan sebelum perlawanan. Membersihkan diri (berwuduk) dan perkara seumpamanya.”


Mohamed Salah menjaringkan dua gol untuk membolosi pintu gol Roma di Anfield malam Selasa lalu


Di sebalik diangkat oleh peminat Liverpool dengan jolokan “Raja Mesir” gara-gara kecemerlangan dan ketajaman penyudahnya di depan pintu gol lawan, Salah kekal seorang yang merendah diri.

Berbanding tekanan berat yang ditimpakan ke atasnya, dia langsung tidak berhempas-pulas, sebaliknya mengambil mudah setiap perkara.

Daripada segi pemakanan juga, Salah tidak mengamalkan diet yang ketat, dengan makanan tradisi Mesir, kushari – campuran nasi, makaroni dan kekacang lentil – menjadi kegemarannya.

“Pemakanan adalah sangat penting, ia sebahagian daripada permainan. Ia membantu saya untuk pemulihan diri saya, membantu tidur yang lena dan mempermudah tubuh saya menyesuaikan diri dengan keadaan.

“Pakar pemakanan saya menyatakan oleh kerana hampir tiada kadar lemak dalam badan saya, maka saya boleh makan apa saja tanpa batasan.”

Itulah cara Salah dengan mengekalkan segala-galanya mudah sebagai resipi kejayaan.    

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen