Salah akan terus berkembang di bawah sistem Klopp

Oleh Thani Hasbullah 25 April 2018 4490
Salah akan terus berkembang di bawah sistem Klopp
Anugerah Pemain Terbaik Tahunan, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) sudah tentu berhak dimiliki penyerang Mesir, Mohamed Salah, apabila kini merekodkan 31 gol dalam Liga Perdana Inggeris selain mencetus kebangkitan Liverpool dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Salah mengalahkan bintang Manchester City, Kevin De Bruyne, yang mengumpul 15 bantuan gol liga musim ini.

Kemenangan itu pastinya akan terus merangsang semangat Salah yang berdepan bekas pasukannya, Roma, bagi penentuan untuk ke final kejohanan itu di Kiev, bulan depan.

Liverpool kini sudah di ambang ke perlawanan akhir selepas menewaskan Roma 5-2 dalam separuh akhir pertama di Anfield awal pagi tadi, dengan Salah menjaringkan dua gol pembukaan untuk membangkitkan semangat pasukan.

Dia jauh melepasi jangkaan awal selepas dibeli dengan harga €42 juta (RM200 juta) untuk kembali ke Liga Perdana pada Jun lalu. 

Walaupun tidak mengikuti bintang-bintang Liverpool sebelum ini seperti Luis Suarez dan Philippe Coutinho, yang lebih glamor berpindah ke gergasi LaLiga (Barcelona), Salah diyakini mampu lebih berkembang di Liverpool dan meraih trofi utama di bawah asuhan Jurgen Klopp.

Ia kerana sistem Klopp sudah diakui terbukti untuk mencungkil apa yang terbaik daripada Salah -- banyak bermain di dalam kotak penalti dengan memiliki peranan besar dalam jentera serangan.

Ia menjelaskan kenapa percubaan Salah meningkat kepada 59 peratus daripada 44 peratus. Lebih mudah difahami, lagi kerap dia berada di dalam kotak penalti bersama Liverpool, lebih tinggi peluang percubaan tepatnya berbanding di Roma.

Selain mengatasi rekod 15 gol dalam satu-satu musim ketika di Roma, Salah sudah menyamai jumlah 31 gol Cristiano Ronaldo dalam Liga Perdana dan dijangka akan menempa sejarah baru tidak lama lagi.

Peratusannya untuk menjaringkan gol dalam satu-satu perlawanan juga meningkat, daripada 0.46 peratus di Roma kepada 0.9 peratus di Liverpool musim ini.

Segala-galanya tentang Salah sepanjang lima tahun lalu yang pernah bermain di Chelsea, Fiorentina dan Roma sudah berubah -- sudah menjaringkan 43 gol dalam 47 penampilan pertama di Anfield.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen