Sabah juara tapi…

Oleh 12 July 2019 15270
Sabah juara tapi…
Oleh Azlan Mubin

Tatkala pasukan Sabah meraikan kejayaan selaku juara Liga Perdana, namun persoalannya pasukan manakah yang akan mengiringi  skuad Tambadau ke saingan Liga Super 2020.


Ini kerana persaingan tempat kedua masih terbuka dan cukup mendebarkan.

Kedudukan terkini carta Liga Perdana menyaksikan persaingan lebih terarah kepada pasukan UiTM FC, Negeri Sembilan dan PDRM FC  yang mengisi tangga ketiga hingga kelima dan tidak ketinggalan, pasukan Pulau Pinang di kedudukan ketujuh.

Kita lupakan kedudukan kedua dan keenam, iaitu pasukan Johor DT II dan Terengganu FC II kerana pasti skuad kendalian Ervin Boban dan Tengku Hazman Raja Hassan itu tidak akan dinaik taraf disebabkan status selaku ‘feeder club’.

Daripada empat pasukan ini, penulis melihat saingan lebih terbuka kepada pasukan Negeri Sembilan, PDRM dan Pulau Pinang kerana masing-masing berpeluang mengumpul mata menerusi baki dua perlawanan. 

UiTM FC pula, yang hanya berbaki satu perlawanan, seolah-olah sudah mengibarkan bendera putih berdasarkan prestasi lima perlawanan terakhir dengan hanya merekodkan dua seri dan tiga kekalahan. 

Namun, penulis menjangkakan keputusan perlawanan di antara Negeri Sembilan menentang PDRM esok akan memberikan gambaran lebih jelas pasukan yang akan menduduki tempat kedua kerana sekiranya Negeri Sembilan menang, mereka berkelebihan mata dan perlu menang dalam perlawanan terakhir berdepan UiTM FC.

Bagi PDRM pula, jika tiga mata diperoleh dalam perlawanan ini, anak-anak buah E. Elavarasan tidak akan melepaskan peluang untuk menundukkan Pulau Pinang dalam  perlawanan terakhir.

Tetapi, lebih mendebarkan sekiranya pasukan Pulau Pinang berjaya menewaskan Sarawak, Ahad ini, dan pasti skuad Harimau Kumbang itu juga tidak mahu ketinggalan untuk memburu kedudukan kedua terbaik ketika berdepan PDRM kelak.

Jadi, episod penantian pasukan kedua terbaik Liga Perdana mungkin akan berlanjutan sehingga perlawanan terakhir bagi setiap pasukan pada 20 Julai nanti dan sekali gus menambahkan lagi kerancakan pemburuan slot Liga Super 2020.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen