Ronaldo: Tidak akan pernah cukup wang dimahukannya

Oleh Shaukei Kahar 3 June 2018 18103
Ronaldo: Tidak akan pernah cukup wang dimahukannya
Cristiano Ronaldo sudah menetapkan gaji £1.35 juta (RM7.2 juta) seminggu sebagai syarat untuk memulakan rundingan kontrak baru dengan Real Madrid.

Tuntutannya itu menghuraikan apa yang dimaksudkannya sebagai “sedang memikirkan masa depannya” sejurus tamat perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Kiev, awal pagi Ahad lalu.

Menyusuli langkah pengurus, Zinedine Zidane, yang sudah mengumumkan untuk angkat kaki dari Santiago Bernabeu, Khamis lalu, Ronaldo tidak berlengah untuk berkongsi tuntutannya andai tidak mahu dia menuruti langkah yang sama.

Pemenang lima kali Liga Juara-Juara, Ronaldo, dikhabarkan tidak gembira mendapati gajinya kurang daripada Neymar dan Lionel Messi ketika ini.

Menurut laporan yang layak dipercayai, Ronaldo menerima gaji £350,000 (RM1.85 juta) seminggu dibandingkan dengan Neymar £619,000 (RM3.28 juta) seminggu di Paris Saint-Germain (PSG) dan Messi £673,000 (RM3.57 juta) seminggu di Barcelona.

Akhbar digital Sepanyol, El Confidencial, melaporkan ejen Ronaldo, Jorge Mendes, telah meletakkan syarat-syarat bagi kontrak baru bernilai £70 juta (RM371 juta) setahun sebelum cukai buat pelanggannya itu.

Andai Real Madrid bersetuju dengannya, Ronaldo akan meraih £44 juta (RM233 juta) sepanjang 12 bulan – kira-kira £841,000 (RM4.465 juta) seminggu – dalam perjanjian baru untuk tempoh tiga tahun.



Bagaimanapun, laporan itu turut menegaskan Real Madrid enggan bersetuju dengan tuntutan itu, tambahan pula buat seorang pemain yang akan berusia 36 tahun apabila perjanjian itu selesai nanti.

Dilaporkan juga bahawa Ronaldo, 33, menuntut gaji lebih besar dengan mengambil kira lima anugerah Ballon d'Or di samping sumbangannya dalam kejayaan Madrid memenangi gelaran Liga Juara-Juara empat kali dalam tempoh lima tahun lalu.

Di samping itu, dia juga mencongak perlu membayar cukai £17 juta (RM90 juta) kepada Perbendaharaan Sepanyol setelah terdahulu menghadapi pertuduhan cuba mengelakkan cukai.

Lebih daripada itu, Ronaldo turut menuntut lebih perlindungan daripada kelabnya, dengan mendakwa Barcelona memberi segala bantuan kepada Messi ketika bintang Argentina itu pernah berhadapan tuduhan yang sama.

Andai dibuat perbandingan dengan Alexis Sanchez dan Paul Pogba yang masing-masing meraih £400,000 dan £300,000 seminggu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tentunya Ronaldo lebih bernilai dengan segala pencapaiannya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen