Ronaldo “si lubuk berita”

Oleh Shaukei Kahar 21 April 2019 1690
Ronaldo “si lubuk berita”
Sukainya atau cemburuinya, namun jangan pernah berasa bosan dengan Cristiano Ronaldo.

Bukan setakat membuat jaringan dan mendatangkan kejuaraan, malah dia turut menjadi “lubuk berita” ke mana saja sepasang kakinya membawanya ke merata benua Eropah.

Dengan hati yang masih remuk-redam gara-gara tersingkir dalam Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu lalu, Ronaldo – yang hampir pasti terlepas Ballon d’Or keenam -- membenarkannya lenyap dalam sesingkat masa pada saat dia meraikan kejuaraan Scudetto kelapan berturut-turut bersama Juventus, awal pagi tadi.

“Saya benar-benar gembira kerana telah memenangi kejuaraan Itali dalam musim pertama saya,” katanya selepas kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Fiorentina  seperti dipetik Tuttosport dan CalcioMercato.



Dengan berkelebihan 20 mata ke atas pasukan di tangga kedua, Napoli, The Old Lady tidak lagi mampu dipintas dengan Serie A hanya berbaki enam perlawanan musim ini.

“Sudah tentu ia tidak berjalan seperti yang kami mahukan dalam Liga Juara-Juara tapi saingan tahun depan tetap ada,” kata Ronaldo yang turut melakar sejarah unik selaku pemain pertama menjuarai liga utama Eropah di tiga negara berbeza – Serie A, LaLiga dan Liga Perdana Inggeris.

Satu-satunya individu lain yang boleh mendekati rekod itu ialah Jose Mourinho – selaku pengurus – yang memenangi kejuaraan liga bersama kelab di tiga negara berbeza.

Di laman Instagram peribadinya, Ronaldo menambah: “Juara Itali! Bangga untuk menyumbang buat kelab luar biasa ini yang memberi sokongan kuat kepada saya. Saya gembira. Kami telah mendominasi satu kejohanan yang sukar dan kami berjuang bersama-sama.

“Kami sebuah kumpulan yang kuat dan luar biasa.

“Dan ini hanyalah permulaan!” katanya yang tersirat makna untuk khalayak bola sepak menantikan Juventus bangkit menakluki kancah Eropah musim depan.



Ronaldo telah menjaringkan 26 gol dalam 38 perlawanan untuk Juventus sejak perpindahan bernilai €112 juta (RM520 juta) daripada Real Madrid musim panas lalu.

Penyokong The Old Lady memiliki sebab tambahan untuk meraikannya apabila Ronaldo mengikrarkan kesetiaannya: “Adakah saya masih akan bersama Juventus musim depan? ‘Mil per cento’ (1,000 peratus). Buat saya, hanya ada Juventus.”

Mungkin ada yang beranggapan Juventus akan tetap memenangi Scudetto sekalipun tanpa Ronaldo – seperti yang mereka lakukan tujuh musim berturut-turut sebelumnya.

Namun, statistik Serie A menawarkan hakikat sebaliknya, seperti berikut:

Gol-golnya saja memenangkan pasukan itu 16 mata musim ini – sumbangan terbesar mana-mana pemain terhadap pasukannya di Itali sepanjang 2018-19.

Pemain pertama dalam sejarah Serie A untuk menjaringkan gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

Ronaldo telah membuat jaringan berdepan 13 pasukan berbeza dalam kempen liga musim ini.

Penjaring terbanyak dengan 12 gol dalam 30 minit terakhir perlawanan Serie A.

Merekodkan paling banyak percubaan tepat – 65 daripada 165 percubaan keseluruhan – di samping empat kali menyumbang gol berganda.

Bersaing untuk anugerah penjaring terbanyak dan memiliki lima perlawanan lagi untuk menghambat pendahulu -- Duvan Zapata, Krzysztof Piatek dan Fabio Quagliarella.

Ia harus satu kelegaan buat Juventus dengan jaminan Ronaldo untuk kekal di Itali pada ketika tidak banyak pasukan yang akan sanggup berpisah dengan sekurang-kurangnya €100 juta bagi mendapatkan seorang penyerang yang akan berusia 35 tahun.

Kepada Ronaldo, ia hanyalah satu angka sambil dia akan terus menjadi bahan berita.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen