Ronaldinho, si ‘Joga Bonito’

Oleh Hafiz Wahid 19 January 2018 227
Ronaldinho, si ‘Joga Bonito’
Siapa tidak kenal Ronaldinho? Walaupun tidak sekacak David Beckham, Dinho merupakan watak protagonis pada zamannya sebelum era Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Anda pernah mendengar perkataaan ‘Joga Bonito’? Ia merupakan perkataan Portugis yang bermaksud ‘the beautiful game.’

Ia menjadi tema pemasaran salah sebuah jenama sukan terkenal, dan watak utamanya ialah Ronaldinho.

Anda boleh mencari pelbagai video yang memaparkan sukan bola sepak amat indah untuk dinikmati.

Video Ronaldinho mendapat kasut baru dan berjaya menyepak bola mengenai palang empat kali berturut-turut menjadi video pertama dalam sejarah di Youtube yang ditonton lebih dari sejuta penonton.

Tanggal 16 Januari 2018, abang yang juga merupakan ejen Ronaldinho, mengesahkan beliau bersara daripada arena bola sepak.

Dinho pernah diberi tepukan berdiri oleh seluruh penyokong di Santiago Bernabeu atas aksinya yang mengagumkan. Ya, dia bermain bersama Barcelona ketika itu, bukan Real Madrid.

Dia berpindah ke PSG yang ketika itu masih belum dimiliki Pak Arab Timur Tengah, dengan tanda harga hanya GBP5 juta.

Ronaldinho mula mendapat perhatian selepas Copa America 1999, di mana dia muncul sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan gol.

Kemuncak karier, sudah tentu selepas menyertai Barcelona. 

Lionel Messi yang ketika itu berusia 16 tahun, turut mengakui impak dibawa Ronaldinho selepas menyertai kelab Catalan itu.

“Ronaldinho bertanggungjawab dengan perubahan di Barca. Walaupun kami tidak memenangi piala pada musim pertama beliau di kelab, semua penyokong menyukainya.

“Kemudian, kami memenangi satu demi satu trofi, dan Barca perlu bersyukur dengan apa yang dia sudah lakukan bersama kelab.”

Malah, Messi tidak berselindung untuk mengakui Ronaldinho paling banyak menolongnya menyesuaikan diri.

“Bukan senang untuk saya masuk ke bilik persalinan Barca pada usia 16 tahun. Ronaldinho merupakan pemain bintang ketika itu dan dia banyak bantu saya sesuaikan diri. Karakter yang ada pada dirinya sungguh menakjubkan.”

Ronaldiho tidak dapat mengecapi pengalaman beraksi di Liga Perdana Inggeris apabila menyertai AC Milan dari Barcelona walaupun Manchester City telah membuat bidaan kepadanya.

Dinho menjaringkan 280 gol daripada 728 penampilan sepanjang karier bersama kelab dengan berjaya meraih sembilan trofi utama termasuk Liga Juara-Juara bersama Barca.

Sementara aksinya bersama Brazil, Dinho berjaya mencetak 33 gol sepanjang 97 penampilan dan merasai nikmat bergelar juara dunia pada 2002, Copa America pada 1999 dan Piala Konfederasi pada 2005.

Ronaldinho juga sudah mengecapi nikmat tertinggi sebagai pemain apabila dinobat pemain terbaik dunia FIFA pada 2004 dan 2005.

“Selepas hampir tiga dekad dalam bola sepak, saya akhirnya perlu mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah impian yang menjadi kenyataan. 

"Saya akan merindui setiap detik, perjalanan, kemenangan, kekalahan, nyanyian lagu kebangsaan, berjalan di terowong pemain, masuk ke dalam padang, bilik persalinan yang saya amat kagumi sehingga ke hari ini,” tulis Ronaldinho dalam laman sosial Instagram.

Ronaldinho akan dikenang sebagai seorang pemain bola sepak yang mudah tersenyum ketika beraksi di atas padang.

Siapa yang membenci Ronaldinho? Pemain lawan pun berebut nak dapatkan jersinya selepas perlawanan.

Kalau anda benci Dinho, sukan bola sepak tidak sesuai untuk anda.

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen