Roma berantakan

Oleh Shaiful Shamsudin 27 June 2019 1026
Roma berantakan
Roma bakal berwajah baru daripada segi pengurusan susulan Gianluca Petrachi dilantik untuk memainkan peranan pengarah sukan yang baru. 

Petrachi yang mencipta nama di Torino diperkenalkan untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Ramon Rodriguez Verdejo atau mesra disapa Monchi sejak Mac lalu. 

Walaupun jawatannya akan berkuatkuasa secara rasminya Isnin depan, namun ura-ura mengatakan dia sudah pun memainkan peranan besar dalam membangunkan semula Roma. 

Antara tindakan awal ke arah usahanya itu ialah dengan pelantikan Paulo Fonseca -- seorang pengurus yang cenderung kepada permainan menyerang, sesuai dengan amalan bola sepak moden ketika ini. 

Selain itu, dua penerima gaji lumayan, Daniele De Rossi dan Edin Dzeko, juga dilepaskan untuk mengurangkan beban kantung mereka ekoran kerugian EUR23.39j (RM110.3j) musim lalu. 

Bagaimanapun, penyokong tegar masih menganggap pengurusan tertinggi kelab sebagai mengalami delusi mengenai hala tuju kelab itu. 

Legenda kelab, Francesco Totti, membuka pekung kelab dengan menyimpulkan peranan selaku pengarah kelab itu tidak lebih hanyalah boneka. 

Pada tahun pertama, wira Piala Dunia 2006 itu memahami beliau memerlukan masa untuk mempelajari selok-belok bidang baru tetapi pendapatnya terus diketepikan pada tahun berikutnya. 

Situasi itulah meleraikan jodohnya dengan kelab itu selepas berbakti hampir 30 tahun. 

Mujur, intonasi perpisahan De Rossi lebih lembut biarpun terpaksa membawa haluan berbeza musim depan demi meneruskan kariernya sebagai pemain. 
Pemain berusia 35 tahun itu ditawarkan posisi dalam pengurusan, namun pemain tengah itu berasakan masih awal lagi untuk menggantung but. 

Ketika ini, pengerusi dan pemilik saham terbesar kelab, James Pallotta, dituding sebagai dalang pergolakan dalaman Roma. 

Pallotta dianggap hanya mementingkan keuntungan semata-mata -- misalnya penjualan Mohamed Salah dan Allison Becker -- sehingga membuatkan ramai tokoh kelab itu angkat kaki.

Bagi Monchi, tidak salah menjana keuntungan tetapi mereka tidak seharusnya mengetepikan soal falsafah bola sepak yang diterapkan kelab serta melepaskan pemain seiring dengan kapasiti cabaran kelab. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen