Roger Federer inspirasi buat semua!

Oleh Yeoh Li Ying 29 January 2018 289
Roger Federer inspirasi buat semua!
Siapa sangka pada usia 36 tahun, Roger Federer masih lagi mampu bergelar pemenang Grand Slam. Pada usia yang boleh dikategorikan sebagai veteran, Federer buktikan usia hanyalah angka semata-mata.

Saya masih ingat, 2012 merupakan tahun ketika Federer menjulang Grand Slam ke-17 di Wimbledon. Dan angka ke-17 ini seakan-akan menjadi yang terakhir buat Federer. Angka 17 statik bagi tempoh 5 tahun! Ketika itulah, dominasi Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Andy Murray menguasai dunia tenis dan Roger Federer sudah dianggap selaku pelengkap jadual sahaja.

Saya sendiri juga lihat zaman kegemilangan Federer sudah berlalu dan ia adalah misi mustahil untuk dia kembali bangkit mencabar pemain-pemain yang jauh lebih muda daripadanya.

Namun tindakan bijak pada 2016 ketika tewas pada separuh akhir Wimbledon menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula Federer bermula 2017. Sejak kekalahan di Wimbledon kepada Milos Raonic, Federer ambil keputusan untuk tarik diri daripada baki kejohanan 2016 untuk fokus dalam proses pemulihan lutut dan memastikan kecergasan di tahap optimum untuk dia kembali pada tahun berikutnya.

2017 di Terbuka Australia bukti kejaguhan Roger Federer. Perlawanan final epik menentang musuh tradisi Rafael Nadal bukti dia masih boleh bersaing dengan seteru yang lebih muda daripadanya. Menamatkan kemarau gelaran Grand Slam selama 5 tahun, siapa sangka angka yang terhenti pada angka 17 sudah menginjak ke angka 18.

Pada angka 18, masih ramai lagi tertanya-tanya.. Mampu lagi ke Federer terus buktikan dia legenda yang tiada tandingan? Saya sendiri turut meragui kemampuan Federer untuk terus melangkah jauh. Apatah lagi saingan semakin sengit ditambah dengan beberepa pemain muda meningkat naik.

Itu semua hanya cakap kosong semata-mata! Federer buktikan kepada sesiapa yang masih meragui kehebatannya pada Julai 2017. Pentas Wimbledon menjadi saksi kepada angka Grand Slam ke-19. SENSASI!

Boleh dikatakan ia tindakan bijak daripada Roger Federer dalam memilih kejohanan untuk disertai. Selepas menang Terbuka Australia pada 2017, dia menyertai beberapa kejohanan pemanas badan di Amerika Syarikat dan selepas itu ambil keputusan tarik diri daripada kejohanan Terbuka Perancis, satu kejohanan dengan permukaan tanah liat yang bukan kepakaran Federer sebelum melangkah ke Wimbledon pada Julai 2017.

Bijak dalam menjaga diri daripada sebarang kecederaan, bijak dalam memilih kejohanan yang disertai, bijak dalam mengambil peluang terhidang! Akhirnya, angka ke-20 menjelma buat Roger Federer di Terbuka Australia 2018.

Tangisan kegembiraan hingga tidak terkata apa-apa pada ucapan Federer selepas menerima trofi kemenangan menceritakan segalanya.

Segala perit, penat dan pengorbanan akhirnya berbaloi dalam mendakap Grand Slam Ke--20 sejak muncul pemenang Grand Slam pertama di Wimbledon pada 2003. Tahniah Roger Federer, anda inspirasi buat kami semuanya bahawa tiada apa yang msutahil dalam mencapai impian jika tidak berputus asa!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen