Robben pencen, Buffon boleh lagi

Oleh Dayang Zainatull 5 July 2019 941
Robben pencen, Buffon boleh lagi
Perjalanan karier Arjen Robben selaku pemain bola sepak professional selama 19 tahun menemui titik noktah apabila beliau mengambil keputusan untuk bersara dari arena bola sepak sebagai pemain.

Pemain antarabangsa Belanda itu, yang telah pun menggantung but bersama skuad kebangsaannya tahun lalu, mengambil keputusan bersara selepas meraih gelaran juara Bundesliga buat kali kelapan bersama Bayern Munich Mei lalu.

Sepanjang hampir dua dekad beraksi sebagai pemain professional, Arjen Robben pernah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dua kali bersama Chelsea, satu La Liga bersama Real Madrid. Namun khidmatnya paling diingati bersama gergasi Jerman, Bayern Munich apabila berada disana selama 10 tahun.

Beraksi sebanyak 467 perlawanan bersama dengan kelab yang diwakili dan meledakkan 151 gol, selain 96 penampilan buat Belanda dengan 37 gol, ketiadaan beliau di Allianz Arena musim baru nanti pasti sedikit dirasai oleh peminat Bayern Munich.

Manakala seorang lagi pemain “otai”, Gianluigi Buffon pula pulang semula ke rumah asalnya, Juventus. Buffon yang berusia 41 tahun, beraksi buat Juventus selama 17 musim, sebelum berhijrah ke PSG musim lalu.

Namun ibarat isi dengan kuku, Buffon yang sudah diibaratkan sebagai seorang lagenda di Turin akhirnya kembali semula berkhidmat buat Juventus untuk musim baru ini. Biarpun perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama nanti, namun sebenarnya kehadiran Buffon dalam skuad Juventus sudah cukup menggembirakan peminat setia mereka di Turin.

Pengalaman dan dedikasi yang dimiliki oleh Buffon, amat diperlukan dalam membimbing pemain muda didalam skuad Juventus.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen