Revolusi badminton Jepun menjelang Olimpik 2020

Oleh Adam Zamri 30 April 2018 4903
Revolusi badminton Jepun menjelang Olimpik 2020
Kejohanan Badminton Asia melabuhkan tirai dengan pemain Jepun, Kento Momota kembali meletakkan dirinya dalam kelompok elit pemain badminton ternama dunia.

Dia hanya memerlukan enam bulan sahaja untuk lonjakkan dirinya daripada ranking 110 dunia pada Oktober 2017 ke tangga 17 dunia pada April dan dijangka melonjak lagi selepas catat sejarah baru, muncul pemain Jepun pertama raih gelaran Juara dalam Kejohanan Badminton Asia. 

Saya pernah menulis mengenai Momota selepas dia kembali daripada penggantungan, boleh rujuk artikel ini, http://www.stadiumastro.com/sukan/blog/blog-butiran/awas-kento-momota-kini-kembali/2651

Sesuatu yang sungguh mengujakan, namun dari sudut pandang yang lebih luas, saya melihat Momota dan keseluruhan kontinjen Jepun berada dalam keadaan yang terbaik untuk hadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Revolusi yang dimulakan sejak 2004, apabila Persatuan Badminton Jepun mengambil legenda beregu lelaki Korea, Park Joo Bong untuk membina semula struktur badminton bagi negara itu. Selain itu, turut disunting pasangan adik-beradik, Rionny dan Karel Mainaky untuk membantu.

Tambahan apabila dengan kewujudan Pusat Latihan Kebangsaan Ajinomoto di Tokyo oleh Majlis Olimpik Jepun, ia membantu daripada segi menyediakan gelanggang dan kemudahan bagi Joo Bong merencanakan pelan dalam membantu menaikkan sukan badminton di Jepun.

“Ketika itu kebanyakkan pemain punyai keinginan untuk beraksi di Olimpik, dan mereka banyak sertai kejohanan untuk mengutip mata bagi perbaiki ranking, namun kejohanan yang disertai adalah peringkat bawahan, jadi ranking mereka sebenarnya tidak mencerminkan skil dan tahap permainan mereka yang sebenar” ujar Joo Boong dalam satu temubual.

Lapan tahun selepas revolusi yang dijalankan Joo Bong, Jepun akhirnya raih pingat pertama mereka dalam sukan badminton di pentas Olimpik menerusi acara beregu wanita, Mizuki Fujii/ Reika Kakiiwa yang rangkul perak selepas tumpas kepada gandingan China, Tian Qing/ Zhao Yunlei dalam pentas final ketika Olimpik London 2012.

Dua tahun kemudian, di New Delhi India 2014, Jepun menunjukkan mereka mula mahu mencabar kuasa besar badminton dunia, dengan memecah badi 65 tahun untuk rangkul Piala Thomas buat julung kalinya, menewaskan Malaysia di pentas final, manakala skuad wanita pula raih Naib Juara Piala Uber, kalah kepada China.

Jepun terus mengorak langkah, selepas raih pingat pertama sukan badminton di Olimpik London 2012, Jepun tidak perlu tunggu lama untuk raih emas pertama dalam sukan ini, apabila skuad beregu wanita terdiri daripada Ayaka Takahashi / Misaki Matsumoto menumpaskan gandingan Denmark, Christinna Pedersen/ Kamilla Rytter Juhl dalam pentas final Olimpik Rio 2016.

Kemenangan itu melonjakkan populariti sukan badminton di mata rakyat negara Jepun, yang sebelum ini lebih dimonopoli bola sepak dan bola lisut. Dilaporkan pemain badminton yang berdaftar dengan Persatuan Badminton Jepun pada ketika itu sekitar 260,000 orang pemain.

Kini mereka dalam persiapan menuju ke Olimpik Tokyo 2020. Momoto sudah kembali untuk mencabar dalam perseorangan lelaki, begitu juga kemampuan Takeshi Kamura/ Keigo Sonoda dalam beregu lelaki dilihat mampu menjadi pencabar kuat, dalam perseorangan wanita pula, Jepun punyai Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, manakala beregu wanita, Jepun punyai tiga gandingan dalam 10 terbaik dunia, Misaki Matsumoto / Ayaka Takahashi, Yuki Fukushima/ Sayaka Hirota dan Shiho Tanaka / Koharu Yonemoto.

Jeremy Gan, bekas jurulatih Malaysia pula kini sedang mempersiapkan skuad beregu campuran ditunjangi Yuta Watanabe/ Arisa Higashino yang baru sahaja menjulang Kejuaraan Seluruh England yang pertama untuk Jepun Mac lalu.

Olimpik Tokyo mungkin berbaki 2 tahun lagi, namun Jepun sudah menunjukkan yang mereka mungkin bakal juara mutlak acara badminton di laman sendiri.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen