Restu Sultan: TMJ bakal presiden FAM?

Oleh 6 February 2017 77
Restu Sultan: TMJ bakal presiden FAM?
Saya setuju, agak keterlaluan! Tetapi inilah hakikatnya!

Nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, lebih popular daripada tiga lagi calon lain. Nama TMJlah yang mudah terpacul daripada mana-mana komuniti bola sepak di seluruh negara menjelang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 25 Mac depan. 

Kesempatan saya pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini menemukan saya dengan kenalan dan juga penduduk kampung yang sering berkumpul menonton bola sepak bersama di kedai kopi. 

Daripada 20 peminat tegar bola sepak, 19 daripada mereka memilih TMJ. Malah, ada yang langsung tidak mengenali calon-calon lain kerana bagi mereka, TMJ adalah idola mereka.

Begitu juga ketika saya berkunjung ke Singapura sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lalu. Kebanyakan ahli keluarga di sana melihat TMJ calon paling layak dan perlu diberikan peluang memimpin dan membawa idea baru bola sepak Malaysia.

Tetapi di manakah letaknya peluang calon-calon lain? 

YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, seorang lagi calon popular. KJ pada awalnya tidak menyangka dia turut dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (PBKL), namun tidak menolak untuk bertanding bagi memenuhi tanggungjawab sebagai individu yang dicalonkan.

Malah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, turut memberi lampu hijau kepadanya yang layak bertanding walaupun memegang jawatan Menteri Kabinet berdasarkan kriteria dimiliki. 

Walau bagaimanapun, hasrat KJ tidak mendapat restu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.  Ahmad Zahid Hamidi.  KJ 'diberi nasihat' agar tidak bertanding dan fokus kepada semua sukan, bukannya bola sepak semata-mata.

Itu mungkin sudah cukup untuk KJ berundur daripada pertempuran 4 penjuru jawatan presiden FAM.

Tan Sri Annuar Musa pula merupakan calon yang masih hangat dengan cerita tentang dirinya ketika menguruskan pasukan Kelantan. Annuar, selaku Pengerusi MARA, sedang berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penajaan pasukan Kelantan.

Justeru, kredibilitinya sebagai calon presiden agak goyah, tambahan jika siasatan ke atasnya belum selesai, ditambah dengan faktor ' veteranisme' yang sudah tidak lagi menjadi 'trend' di kalangan orang muda. Perang di laman sosial Facebook di antaranya dan TMJ boleh mempengaruhi 'penolakan' golongan muda yang taksub dengan cara pemikiran orang muda.

Pun begitu, Annuar muncul calon pertama yang mengemukakan borang pencalonan kepada Setiausaha Agung FAM pada 6 Februari 2017.

Tan Sri Aseh Che Mat adalah antara calon paling bersih daripada sebarang kontroversi tetapi masih gagal memikat hati golongan 'millenium', malah langsung tidak popular sebagai calon setakat ini. Tidak dinafikan sebagai bekas pegawai tinggi kerajaan, Aseh bersifat tegas, bersih, amanah tetapi neutral.

Pengalaman yang ada padanya, terutama dalam soal keselamatan negara, dan juga intregiti dalam bola sepak bukan calang-calang! Namun, Aseh tidak ada pengalaman sehebat TMJ, KJ dan Annuar Musa mengurus sebuah pasukan bola sepak! 

Walaupun mendapat sokongan Tunku Ismail selaku calon, Aseh tetap akan berdepan TMJ jika beliau mahu meneruskan hasrat bertanding.

Apakah kelebihan TMJ yang sekian lama belum diperoleh? Jawapannya ialah restu ayahandanya, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor.

Sultan Ibrahim telah berkenan merestui anakandanya, Tunku Ismail, untuk bertanding jawatan presiden pada Kongres Tahunan Ke-53 FAM, Mac ini, hasil pertemuan dengan 15 ahli gabungan FAM yang menghadap baginda pada pagi Isnin, 6 Februari 2017 di Johor Bahru.

Ini mampu jadi indikasi betapa Tunku Ismail adalah calon pilihan utama presiden FAM!

Gambar: JOHOR Southern Tigers

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen