Rekod berguguran dalam saingan Messi-Ronaldo

Oleh Shaukei Kahar 6 October 2018 7573
Rekod berguguran dalam saingan Messi-Ronaldo
Tiada had atau sempadan terhadap apa yang mampu dicapai dua legenda ini – baik Lionel Messi mahupun Cristiano Ronaldo yang mendominasi sepanjang satu dekad lalu.

Terbaru, Messi menyamai rekod Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pesaingnya itu.

Bintang Barcelona itu, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan selepas gol bergandanya ke atas  Tottenham Hotspur, awal pagi kelmarin, akhirnya mengikat rekod UCL  yang lama dipertahankan Ronaldo.

Kapten Argentina itu menjaringkan gol ketiga dan keempat kelabnya dalam kemenangan 4-2 di Stadium Wembley – meningkatkan jumlah golnya dalam kempen UCL 2018/19 kepada lima selepas hanya dua perlawanan.

Secara keseluruhannya, Messi kini telah menjaringkan 105 gol untuk FC Barcelona dalam UCL – menyamai rekod kejohanan bagi jaringan terbanyak buat sebuah kelab tunggal.

Sebagai perbandingan, Ronaldo turut menyumbat 105 daripada 120 golnya dalam Liga Juara-Juara dalam warna-warna Real Madrid.

Lebih menarik, kapten Portugal itu mencapai jumlah berkenaan dalam hanya 101 perlawanan buat Los Blancos manakala Messi memerlukan 127 penampilan untuk mendaki ke paras 105 gol dalam kejohanan itu.

Sebagai tambahan, Messi melebarkan rekodnya untuk jaringan terbanyak di peringkat kumpulan UCL dengan sejumlah 65 gol – lima mengatasi Ronaldo di peringkat yang sama.

Tidak cukup dengan itu, Messi setakat ini sudah menyumbat 40 gol pada 2018, menyertai penyerang kelab bola sepak Qatar, Al-Sadd, Baghdad Bounedjah, selaku penjaring gol paling prolifik sepanjang tahun ini yang masih berbaki kira-kira tiga bulan lagi.

Dalam pada itu,masih terdapat beberapa rekod lagi yang, baik Messi mahupun Ronaldo, belum atasi dalam saingan di peringkat Eropah, termasuk jaringan terbanyak dalam satu-satu kempen.

Penjaga gol Porto yang pernah lama bersama Real Madrid, Iker Casillas, masih mempertahankan rekod penampilan terbanyak dalam UCL.

Dengan 172 penampilan sejak kemunculan pertamanya pada 1999, Ronaldo, bagaimanapun, tidak terlalu jauh di belakang dengan 158 sambil Messi agak tertinggal dengan 126.

Ronaldo juga mengatasi Messi daripada segi jaringan terbanyak dalam perlawanan akhir Piala Eropah/UCL meskipun rekod itu masih dipegang oleh dua bekas pemain Real Madrid, Alfredo Di Stefano dan Ferenc Puskas, kedua-duanya dengan tujuh gol.

Ronaldo, bagaimanapun, mengatasi pesaing terdekatnya itu dalam bahagian ini setelah menyumbat empat gol dalam perlawanan akhir – masing-masing satu gol pada 2008 dan 2014 di samping dua gol dalam final 2017.

Messi, sebagai perbandingan, akan mendapati sukar untuk menyainginya dengan hanya dua gol dalam perlawanan akhir 2009 dan 2011.

Satu lagi rekod UCL yang masih dalam jangkauan Ronaldo ialah kemenangan dalam final bersama paling banyak pasukan – rekod itu masih dipegang Clarence Seedorf, iaitu bersama tiga pasukan (Ajax 1995, Real Madrid 1998 dan Milan 2003, 2007).

Ronaldo harus bersemangat untuk sekurang-kurangnya menyamainya bersama kelab barunya, Juventus, setelah menjulang trofi berkenaan bersama Manchester United sekali dan Real Madrid sebanyak empat kali.

Dunia bola sepak meraih untung selagi Messi dan Ronaldo terus bersaing.







 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen