Real pertaruh kepercayaan kepada Jovic

Oleh Ammar Hakim 27 June 2019 1496
Real pertaruh kepercayaan kepada Jovic
Pemain kelahiran Serbia, Luka Jovic, menandatangani kontrak enam tahun bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid, dengan perpindahan bernilai EUR60 juta (RM282 juta). Kehadiran penyerang muda ini merupakan perancangan Los Blancos merombak semula pasukan di bawah pimpinan Zinedine Zidane.
 
Aksi cemerlangnya bersama Eintracht Frankfurt bagi musim 2018-19 bukan sesuatu yang asing, dengan meledak 27 gol dalam 48 penampilan -- rekod cemerlang yang membuatkan Real tidak berfikir panjang untuk membawa pemain itu berhijrah ke Santiago Bernabeu.

Masalah Real musim lalu

Musim 2018-19 merupakan antara yang terburuk mereka. Tiada keseimbangan dalam pasukan. Pemain-pemain sekadar melakukan hantaran tetapi tiada pemangkin utama dalam memecah kebuntuan benteng pertahanan lawan.

Setiap kali mereka melancarkan serangan menerusi pemain sayap, keinginan barisan pemain Real jelas kelihatan bahawa mereka seakan-akan tidak bermaya. Ketiadaan Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Juventus merupakan satu kekosongan besar yang ditinggalkan kepada Karim Benzema.

Jentera serangan Los Blancos terlalu tertumpu kepada permainan kreatif oleh bintang muda, Vinícius Jr, yang masih lagi kurang pengalaman beraksi di bumi Sepanyol. Pasukan ini memerlukan sentuhan penyudah yang tajam dan penyerang tunggal mereka hanyalah Benzema.

Mengapa Jovic?

Jovic merupakan salah seorang penyerang muda yang berkualiti buat masa ini. Beraksi cemerlang bersama Eintracht, dia merupakan pemain muda pertama yang meledak lima gol dalam satu perlawanan ketika mengatasi Fortuna Düsseldorf 7-1.

Di atas padang, dia tidak kekok untuk menggelecek bola dan kawalannya seakan-akan pemain yang berpengalaman. Berusia 21 tahun, dia turut memiliki kepantasan dan keseimbangan yang tinggi. 

Jovic turut memainkan peranan sebagai perancang dengan usaha untuk melakukan lorongan kepada rakan sepasukannya. Sentuhannya ketika menjaringkan gol sesuatu yang diperlukan Real buat masa ini.

Peranan Jovic di Madrid

Musim lalu merupakan mimpi ngeri yang perlu segera dilupakan hingga apabila berdepan lawan yang mudah sekalipun, mereka bergelut mencipta kemenangan.

Aksi-aksi berdepan lawan mudah akan menjadi peluang buat Jovic membina keyakinan dalam meledak gol. Benzema dan Jovic mampu digandingkan bersama-sama Eden Hazard untuk mengembalikan prestasi terbaik mereka dalam merebut gelaran terbaik bukan saja di Sepanyol, malah juga di Eropah.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen