Real Madrid tagih khidmat Junior Ronaldo

Oleh Suzana Basri 13 September 2019
 Real Madrid tagih khidmat Junior Ronaldo
Real Madrid memang tidak akan pernah ‘move on’ daripada Cristiano Ronaldo.

Hebat mana sekali pun keyakinan yang dilaungkan kapten, Sergio Ramos, tentang Real Madrid okay tanpa bintang Portugal yang berhijrah ke Juventus pada 2018 itu, hakikat yang perlu ditelan semua pemain gergasi Sepanyol adalah prestasi pasukan yang tidak menentu.

Impaknya berat mempengaruhi musim lalu apabila Real Madrid tamat dengan kekal di tangga ketiga LaLiga, masih belum mampu mengatasi musuh setempat, Atletico Madrid, dan jauh ditinggalkan Barcelona.

Kembalinya Zinedine Zidane membimbing pasukan menyaksikan Real Madrid cuba bermula segar musim ini dengan mendapatkan khidmat beberapa muka baharu untuk memperkuat bahagian serangan dan pertahanan.

Jentera serangan jelas menjadi fokus utama kebanyakan pihak yang berasakan Real Madrid belum cukup berbisa jika mahu dibandingkan dengan Barcelona yang masih konsisten, sama ada dengan atau tanpa Lionel Messi.



Bagaimanapun, Los Blancos nampaknya mahu terus memberikan sentuhan segar dengan laporan terbaharu dari laman web berbahasa sepanyol , Don Balon, menyatakan Real Madrid berhasrat mendapatkan pemain tengah, Ruben Neves, yang dilihat memainkan peranannya dengan baik bersama skuad kebangsaan Portugal, termasuk ketika menang 5-1 ke atas Lithuania dalam aksi kelayakan Euro 2020, Rabu lalu.

Neves memakai jersi no.18 diletak di posisi sayap kanan, berada di belakang Ronaldo dalam percaturan pengendali Portugal, Fernando Santos, turut beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama Wolverhampton Wonderers sejak berpindah daripada Porto pada 2017.

Nama penuhnya Ruben Diogo da Silva Neves dab baru berusia 22 tahun, dikatakan mampu memberi saingan kepada Casemiro, selepas hasrat Los Blancos mendapatkan Tanguy N’Dombele terbantut dengan termeterainya kontrak pemain Perancis itu dengan Tottenham Hotspur.

Walaupun tidak diwar-warkan, kedudukan Casemiro sedang dalam pemerhatian serius -- di sebalik kembali membarisi kesebelasan utama dibawah bimbingan Zidane dan menikmati baki kontrak sehingga 2021.

Sepanjang aksi pra-musim, posisi pemain Brazil berusia 27 tahun itu cuba diisi dengan kreativiti Tony Kroos dan Federico Valverde tetapi gagal membawa sebarang impak berkesan yang diperlukan Real Madrid untuk kelangsungan musim ini.

Mungkin Neves adalah jawapan yang dicari Los Blancos, perpindahan pemain itu dikongsikan berjumlah sekitar €50 juta - menerbitkan persoalan apakah ia setanding nilai dan peranannya dalam menyerlahkan lagi kecemerlangan Ronaldo sehingga mencetak hatrik kelapan dan bergelar penjaring terbanyak pusingan kelayakan Euro.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen