Ramalingam yang asli 

Oleh Rizal Hashim 15 February 2018 1384
Ramalingam yang asli 
SEBELUM munculnya dua bersaudara Kevin dan adiknya Stuart Ramalingam dalam arena bola sepak tempatan pada dekad ini, nama R. Ramalingam menjadi mainan media dari 1970-an hingga lewat 1980-an.
 
Wajahnya, petikan kata-katanya dan ulasannya menghiasi dada akhbar – sumber rujukan utama peminat bola sepak era itu.
 
Kini segala-galanya tinggal kenangan.
 
Ramalingam - antara tonggak di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) eranya – meninggal dunia dalam tidur pada 6 Februari lalu, genap pada hari ulang tahunnya yang ke-77. Mendiang meninggalkan tiga anak dan seorang cucu.
 
Anak sulungnya, Gayathiry, berkata:
 
“Bapa saya meninggal dunia dalam tidur.”
 
Sebagai setiausaha FAS pada 1967-69, bendahari FAS dari 1971 hingga 1986 dan seterusnya naib presiden FAS 1984-1992, Ramalingam memegang watak penting dalam hala tuju bola sepak Selangor dan juga Malaysia, selaku ahli majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
“Bapa saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru, kemudian dipinjamkan kepada Kementerian Undang-undang menjadi pembantu peribadi kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga Presiden FAM.”
 
Penolong pengurus dalam skuad Olimpik yang mendapat tiket ke Moscow pada 1980, Ramalingam membantu Allahyarham Datuk Abu Bakar Daud menyediakan persekitaran terbaik untuk mendiang Karl Weigang dan Datuk Mohamad Bakar membentuk skuad kental.
 
Lima bulan kemudian, Ramalingam dilantik menjadi pengurus pasukan negara ke Piala Asia AFC di Kuwait.
 
Sebelum era langit terbuka dengan media sosial yang menonjolkan kebobrokan manusia, Ramalingam muncul pada zaman kepegawaian yang terbuka minda dan tidak tertutup jiwa. Selain cekap bekerja, pegawai sezaman Ramalingam tajam dan kritis dalam memberi hujah.
 
Misalnya Ramalingam mengkritik FAM yang mengancam mengambil tindakan terhadap FAS kerana mahu mengambil tindakan terhadap enam pemberontak – Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Rashid Hassan, Kamaruddin Abdullah, Reduan Abdullah dan Abdullah Ali -  yang melanggar perintah melapor diri untuk kejohanan Piala Raja-Raja Thai pada 1978.
 
Ramalingam berada dalam kelompok tokoh seperti Allahyarham A.S. Mohamed Mydin, Yaacob Syed dari Pulau Pinang, atau Paul Murugasu, S. Anthonysamy, K. Rasalingam dan Paul Mony Samuel yang menghidupkan jentera pentadbiran bola sepak negara era 70-an, 80-an dan 90-an.
 
Pada Januari 1982, Ramalingam antara watak utama di belakang tabir yang membawa Boca Juniors ke Stadium Merdeka, dengan menampilkan Diego Maradona yang menewaskan Pilihan Selangor 2-1.
 
Memegang pelbagai jawatan di peringkat akar umbi, termasuk menjadi Pengerusi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Selangor, pengadil di Liga Selangor, liga daerah dan sekolah serta
Setiausaha FAS ketika Selangor bertanding dalam Kejohanan Piala Juara-juara Asia AFC pada 1967, Ramalingam juga mengurus watak-watak besar seperti Mokhtar, Chin Aun, Santokh Singh dan R. Arumugam.
 
Sayangnya, watak seperti Ramalingam tidak lagi wujud.
 
Ramalingam yang berasal dari Johor Bahru, adalah seorang pegawai yang melaksanakan tugas ibarat ketua pegawai eksekutif, lama sebelum istilah CEO diwujudkan.
 
 
 
Nama penuh: Ramalingam Retnasingam
 
Tarikh lahir:6 Februari, 1941
 
Asal: Johor Bahru
 
Keluarga: Isteri mendiang S. Jeyamalar, anak Gayathiry, Nandini, Raja Ishwara

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen