Punca Elyas kecewa dengan penulis

Oleh Rizal Hashim 8 June 2018 1739
Punca Elyas kecewa dengan penulis
HUBUNGAN penulis dengan Allahyarham Tan Sri Elyas Omar boleh dikatakan rapat, sehingga beliau menawarkan penulis merakamkan kisah hidupnya, khususnya cerita di sebalik tabir dalam tadbir urus sukan, dalam bentuk buku.

Kami beberapa kali bertemu untuk membolehkan penulis mencatat pengalaman hidupnya, sama ada di Kelab Taman Perdana Diraja ataupun di sebuah hotel di tengah hiruk-pikuk bandaraya.

Namun di sebalik kemesraan itu, Elyas benar-benar kecewa dengan penulis sebanyak dua kali.

Pertama, ketika penulis mengecam tindakannya menggantung Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA) pada 2005, apabila penulis menegaskan bahawa beliau mengikut telunjuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Sedangkan pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Sukan pada Januari 2005 disambut baik oleh warga sukan yang mengagumi pencapaian Elyas sebagai pentadbir sukan baik bersama badminton, lumba basikal mahupun badminton.

Bahkan penulis membuat laporan untuk akhbar The Malay Mail dalam nada yang positif menyambut baik pelantikan berkenaan.

Namun dalam menguatkuasakan Akta Pembangunan Sukan 1997, atau dalam bahasa Inggeris Sports Development Act (SDA), Elyas berdepan pelbagai cabaran hinggakan beliau bergurau menyatakan SDA membawa maksud Suka Duka Act. 

Kes paling besar tentunya MTA. Pada 15 April, 2005, Elyas memberi surat tunjuk sebab kepada MTA atas kegagalan meminda perlembagaannya bagi membuka keahliannya kepada kelab persendirian.

MTA, dari perspektifnya, mengemukakan pelbagai alasan menolak satu daripada lima model struktur yang dibentangkan dalam dialog di antara Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan MTA dua bulan terdahulu. 

Pada 26 April 2005, The Malay Mail menyiarkan berita muka belakang “See you in court” atau Jumpa anda di mahkamah, memetik peguam M.S. Murthy yang mengemukakan writ saman terhadap Kerajaan Malaysia bagi pihak anak guamnya MTA.

Pada 6 Mei, 2005, Elyas membatalkan pendaftaran MTA. Kontroversi itu berlarutan sehingga membawa kepada pendaftaran Taekwondo Malaysia (TM).

Elyas menyatakan kekecewaannya kepada penulis kerana tidak menyokong 100 peratus tindakannya tetapi penulis sekadar menegaskan wartawan harus objektif dan tidak memihak.

Selepas pengumuman khidmat Elyas tidak disambung pada Disember 2007, penulis menukilkan surat terbuka yang disiarkan Weekend Mail, iaitu akhbar hujung minggu The Malay Mail yang diterbitkan sekali seminggu. Seminggu kemudian Elyas mengambil kesempatan membalas dengan surat terbuka yang dialamatkan kepada pengarang, menjawab dengan panjang lebar satu persatu isu yang dibangkitkan penulis. 





Kali kedua Elyas kecewa dengan penulis berikutan siaran program Dengan Izin. Penulis tidak banyak memberi ruang kepadanya menjawab soalan dalam rakaman program itu yang disiarkan pada September 2012.

Selepas program itu disiarkan di Astro Arena (malangnya rakaman tidak dimuat naik ke youtube), Elyas mengirim pesanan ringkas panjang lebar menyatakan ketidak puasan hatinya seolah-olah penulis sebagai pengacara sengaja memburukkan reputasinya.

Penulis menjelaskan bahawa konsep program sedemikian bertujuan menyesakkan nafas tetamu yang diundang. 

Bagi menjaga hati seorang tokoh yang penulis segani, penulis memohon maaf secara terbuka menerusi catatan http://rizalhashim.blogspot.com/2013/06/tan-sri-elyas-omar-my-apologies.html.

Hingga akhir hayatnya Elyas mencintai sukan. Dalam mindanya sentiasa mahu memikirkan kaedah membangunkan sukan, khususnya bola sepak dan badminton.

Pernah Elyas berkongsi visinya mengirim pemain terbaik negara ke Akademi Bola Sepak Venglos milik Josef Venglos di Bratislava, Slovakia. 

Beliau memikirkan kerjasama dua hala selama 10 tahun dengan bajet RM35 juta sebagai langkah membentuk skuad negara yang berdaya saing di pentas Asia. 

Elyas menjelaskan Bratislava dikenal pasti sebagai lokasi bukan sahaja disebabkan oleh Venglos tetapi juga jarak dekatnya dengan Hungary, Ukraine, Republik Czech, Poland, Jerman dan Austria memungkinkan skuad remaja negara bermain dalam pertandingan atau perlawanan persahabatan.

Elyas waktu itu mencadangkan Bratislava sebagai bandar berkembar dari segi kaedah latihan dengan Kuala Lumpur, manakala Munich (Kangar), Vienna (Seremban), Krakow (Johor Bahru), Prague (Pulau Pinang), Kiev (Kota Bharu), Budapest (Ipoh). 

Bersandarkan kepada hakikat pemain seperti Azrul Amri Burhan, T. Gopinath Naidu dan Azmin Azram Aziz dan Ahmad Sabri Wahab yang berkelana ke Eropah pada usia remaja sebagai tiket mengutip pengalaman menerusi program skuad pelapis Kuala Lumpur era 1990-an, Elyas percaya kepada program berkenaan.

Namun kesihatan Elyas tidak mengizinkan beliau aktif memenuhi aspirasinya.

Fail yang mencatat nama bapa Elyas, Omar Md Salleh dari Acheh manakala ibunya Siti Arti Ahmad Rajihan dari Madura, serta luahan hatinya apabila akhbar The Malay Mail mencetuskan kontroversi sehingga membawa kepada peletakan jawatannya selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur pada September 1992, masih tersimpan dalam komputer bimbit penulis.

Allahyarham turut menyatakan rasa kecewanya kepada tiga individu yang didakwa menjatuhkannya di saat namanya harum selepas kejayaan Piala Thomas dan bida Sukan Komanwel.

Kesedihan itu dibawa ke liang lahad.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni dosa roh Allahyarham Tan Sri Elyas Omar.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen