Pulangkan hak kami

Oleh Muzaffar Musa 28 January 2018 212
Pulangkan hak kami
"Merah Kuning lambang kebanggaan", "Semerah darah, sekuning daulat", "Selangor sampai mati", itu antara cogan kata dan baris-baris keramat yang sering dilaungkan penyokong bola sepak Selangor. 

Seperti mana lagu Merah Kuning dan Barisan Kita sering berkumandang di stadium tatkala aksi melibatkan pasukan yang pernah bergelar gergasi ini.

Peminat Selangor juga sering menyanyikan lagu-lagu rakyat dalam melayani kunjungan seteru tradisi mereka. Sebagai contoh lagu Kenek-Kenek Lah Odeng, Seladang Patah Tanduk (Perak), Ayam Den Lapeh (Negeri Sembilan) dan Anak Tupai (Kelantan).

Imbas kembali 23 tahun dahulu ketika kali pertama aku menyanyikan lagu Merah Kuning pada usia 6 tahun, sejurus Selangor tamat menumpaskan Pahang di stadium Shah Alam, 'remangan'nya masih jelas dapat ku rasakan sehingga hari ini.

Aku juga sempat merasa dan menyanyi bersama rima "Ipoh Mali Tarak Sombong" ketika melayan kunjungan pasukan Perak ketika dahulu.

Namun semua di atas hanya dapat aku rasakan di Stadium Shah Alam. Aku ulang sekali lagi, DI STADIUM SHAH ALAM.

Ini stadium yang aku penuh banggakan sebagai seorang penyokong pasukan Selangor Darul Ehsan.

Pernah juga aku menyaksikan perlawanan Selangor di Stadium Selayang. Namun suasananya tidak sama. Walaupun dalam keadaan yang penuh kepadatan, aku masih terasa kekosongan dalam menyaksikan perlawanan tersebut.

Hatiku berdetik menyatakan ini bukan stadium aku. Ini bukan rumah aku. 

Bukan seperti Shah Alam yang aku boleh jalan mendongak sambil menyatakan ini rumah aku dan ini adalah stadium aku.

Sebuah tempat yang penuh dengan 'aura' Merah Kuning. Sebuah tempat yang kaya dengan sejarah kami.

Sebuah tempat yang aku boleh menumpang parkir di Giant atau Tesco. Sebuah tempat yang aku boleh menikmati 'cucuk-cucuk' dan Nasi Lemak Cinta Sayang selepas tamat perlawanan.

Aku mahukan hak aku sebagai penyokong. Aku mahukan kembali suasana di rumah kami.

Pulangkan stadium kami. Pulangkan padang kami. Pulangkan rumah kami. Pulangkan Hak Kami;

Sebagai penyokong pasukan Selangor.

P/s : Aku tidak akan lupa berger keras tanpa sayur. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen