Prebiu WWE Wrestlemania 34

Oleh Hafiz Azwany Taher 8 April 2018 702
Prebiu WWE Wrestlemania 34
Hanya kurang 24 jam dari sekarang, temasya sukan hiburan paling gilang gemilang iaitu Wrestlemania akan bersiaran. Sebagai sebuah acara tahunan terbesar yang amat ditunggu-ditunggu dalam kalendar para peminat gusti profesional, edisi ke-34 acara ini dilihat begitu mengujakan dengan pelbagai perlawanan dan pengisian menarik.

Dipancarkan secara langsung di rangkaian WWE Network melalui saluran Astro 820 / 840 (HD) pada pagi Isnin ini seawal jam 5.00 pagi, sepuluh perlawanan telah dimuktamadkan dengan tambahan tiga lagi perlawanan pembuka tirai untuk siaran yang dijangka mengambil masa sehingga 7 jam ini.

Berikut merupakan perlawanan yang akan mengambil tempat:

Perlawanan Wrestlemania Women’s Battle Royal

Buat pertama kalinya dalam sejarah, semua bintang-bintang wanita dari jenama Raw, Smackdown Live dan NXT ditampilkan dalam perlawanan bagi merebut gelaran sebagai pemenang pertama perlawanan beramai-ramai ini.

Format perlawanan yang hampir menyamai perlawanan Royal Rumble ini memerlukan setiap individu untuk menjatuhkan peserta lain dari tali paling atas gelanggang. Yang membezakan hanyalah kesemua peserta akan masuk ke dalam gelanggang serentak dan individu terakhir yang berjaya bertahan akan dinobatkan sebagai pemenang dan mencipta rekod sebagai pemenang pertama Wrestlemania Women’s Battle Royal dalam sejarah.

Perlawanan Andre The Giant Memorial Battle Royal

Meneruskan tradisi untuk tahun ke lima, perlawanan bagi mengenang mendiang Andre The Giant ini kembali bagi memberikan peluang kepada semua bintang untuk beraksi di pentas Wrestlemania.

Sama formatnya seperti Women’s Battle Royal, pemenang akan membawa pulang trofi emas monumen Andre The Giant dan akan menampilkan ramai bintang hebat seperti Dolph Ziggler, “Woken” Matt Hardy, Goldust, Baron Corbin, pemenang tahun lalu Mojo Rawley dan ramai lagi.

Perlawanan akhir Kejohanan Cruiserweight WWE: Cedric Alexander lawan Mustafa Ali

Bagi mencorak semula divisyen Cruiserweight, Pengurus Besar 205 Live yang muda dan berwawasan, Drake Maverick telah melakukan transformasi supaya divisyen ini kekal segar dan bertenaga. Justeru, satu siri kejohanan telah dimulakan awal tahun ini bagi memahkotakan juara baharu.

Seramai 16 peserta telah merebut tempat untuk ke perlawanan akhir. Bukan sahaja bintang-bintang 205 Live sedia ada, malah beberapa nama hebat dari NXT juga turut sama bersaing untuk meraih kejuaraan tersebut.

Kesudahannya, Cedric Alexander mara ke perlawanan akhir apabila berjaya menumpaskan Roderick Strong manakala Mustafa Ali pula menempah slot yang sama dengan menumbangkan Buddy Murphy di perlawanan separuh akhir.

Perlawanan yang mempertemukan dua sahabat karib ini pastinya menarik kerana masing-masing terkenal dengan aksi arobatik dan anti graviti yang menarik. Tidak kira siapa pun yang menang, penonton pastinya akan terpukau dengan aksi yang bakal dipamerkan kedua penggusti muda berbakat ini.

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Raw: Alexa Bliss (juara) lawan Nia Jax

Setelah sekian lama dinafikan haknya untuk bergelar juara, Nia Jax kini telah mengecap apa yang diidamkan. Jika selama ini, dirinya hanya menjadi alat kepada sang juara, Alexa Bliss dalam menjalankan segala agenda liciknya untuk terus bergelar juara, kini situasi telah berubah.

Nia sedar yang dirinya selama ini hanya diperkudakan oleh Bliss. Perbualan Bliss dengan Mickie James di ruang persalinan beberapa minggu lalu akhirnya telah memecahkan tembelang Bliss. Kata-kata nista daripada Bliss yang memperlekeh fizikal Nia nyata meremukkan hati Nia. Kini, peluang terbuka buatnya untuk melampiaskan segala amarahnya apabila Pengurus Besar Raw, Kurt Angle memberi peluang kepada Nia untuk mengajar Bliss erti adab dan seterusnya bergelar juara dengan menewaskan Miss Bliss di Wrestlemania.

Walaupun jika dilihat kepada saiz kelebihan berpihak kepada Nia, namun usah dilupa yang Bliss mempunyai pelbagai tipu helah. Tambahan pula dengan Mickie James yang setia di luar gelanggang, Nia Jax perlu lebih berwaspada. Jika tidak, pasti akan kempunan sekali lagi untuk bergelar juara.

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Regu Raw: Sheamus & Cesaro (juara) lawan Braun Strowman dan pasangan pilihannya

Setelah satu demi satu pasangan regu di Raw tumbang di tangan mereka, Sheamus dan Cesaro terus mendabik dada dengan mendakwa tiada siapa lagi yang tinggal untuk mereka kalahkan. Dominasi The Bar terus kukuh tanpa mana-mana pihak mampu menggugatnya.

Enggan The Bar terus selesa, Kurt Angle mengumumkan perlawanan Tag Team Battle Royal bagi menentukan pencabar baharu. Mengejutkan, Braun Strowman yang bersendirian tanpa pasangan turut menyertai perlawanan ini dan menjadi pemenang.

Memandangkan ini adalah perlawanan regu, maka Angle meminta Strowman mencari pasangannya untuk bertemu Sheamus dan Cesaro di Wrestlemania. Ia sudah tentu sedikit menggusarkan The Bar kerana secara zahirnya, Strowman berseorangan pun boleh menghadapi mereka. Dan dengan pasangan yang masih belum dinamakan, ia memberikan lebih rasa gentar.

Siapa agaknya akan menjadi pilihan Strowman? Ada yang memilih nama seperti Elias, Johny Gargano dan tidak mustahil Rey Mysterio agar kombinasi pasukan kecil besar dapat dijana. Ia sekaligus mengulang semula apa yang dilakukan mendiang Owen Hart di acara Wrestlemania 11 yang juga tampil dengan pasangan misteri iaitu Yokozuna, sekaligus berjaya membenam pasangan juara The Smoking Gunns ketika itu.

Perlawanan 4 penjuru bagi merebut Kejuaraan Amerika Syarikat WWE: Randy Orton (juara) lawan Bobby Roode lawan Jinder Mahal lawan Rusev

Perlawanan yang pada awalnya direncanakan hanya melibatkan tiga individu iaitu Orton, Roode dan Jinder. Namun Rusev yang kini menjadi kegemaran WWE Universe dengan sambutan Hari Rusev melayakkannya untuk turut sama mencuba nasib dalam perebutan gelaran berprestij ini.

Jinder Mahal masih lagi mempertahankan hujah yang haknya sebagai pencabar utama kejuaraan milik Orton itu dinafikan. Justeru, pasca perlawanan antara Orton dan Roode di Fastlane, Jinder telah menyerang kedua-dua bintang tersebut dan mendakwa yang Kejuaraan Amerika Syarikat akan terlilit di pinggangnya tidak lama lagi.

Mampukan Orton bertahan? Bagaimana pula dengan Roode yang pertama kali beraksi di pentas Wrestlemania? Adakah Sunil Singh akan menjadi kambing hitam sekali lagi oleh Maharajanya? Dan mungkinkah Hari Rusev akan semakin bermakna jika Rusev bergelar juara?

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Antara Benua WWE: The Miz (juara) lawan Finn Balor lawan Seth Rollins

Usaha The Miz untuk bergelar Juara Antara Benua paling lama dalam sejarah kini ibarat telur di hujung tanduk apabila terpaksa mendepani tentangan daripada dua bintang yang bukan calang-calang.

Bekas Juara WWE Seth Rollins dan bekas Juara Universal Finn Balor seakan berpakat untuk menidakkan kelancangan mulut The Miz saban minggu dengan masing-masing berusaha untuk merampas kejuaraan milik The A Lister tersebut. Walau pelbagai helah cuba dilakukan seperti berpura-pura bersengketa dengan Miztourage, namun ia masih belum mampu menggugah kesepakatan antara Balor dan Rollins.

Miz pastinya berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kejuaraannya. Tambahan pula beliau baru sahaja bergelar bapa baru-baru ini. Kekalahan di Wrestlemania pastinya akan merencatkan keraian yang sedang dilalui waktu ini. Namun penangan Curb Stomp dan Coup The Grace daripada Rollins dan Balor bukan mudah untuk ditangkis, menyebabkan peluang The Miz untuk kekal bergelar juara tampak tipis.

Perlawanan tiga penjuru bagi merebut Kejuaraan Regu Smackdown: The Usos (juara) lawan New Day lawan Bludgeon Brothers

Perlawanan sulung buat anak kembar lagenda Rikishi Phatu di Wrestlemania. Setelah sembilan tahun beraksi di WWE, inilah kali pertama The Usos dapat beraksi di perlawanan utama Wrestlemania dengan tugas mempertahankan kejuaraan milik mereka.

Bagi New Day, setelah direhatkan dengan dilantik sebagai hos di acara Wrestlemania tahun lalu, mereka enggan duduk lagi menjadi penonton. Sayang sekali, usaha mereka untuk merebut kejuaaraan daripada Usos di acara Fastlane terbantut gara-gara gangguan daripada dua bintang menakutkan, Erick Rowan dan Luke Harper yang menjenamakan semula diri mereka sebagai The Bludgeon Brothers.

Pastinya ia bukan suatu tugas yang mudah buat Usos bagi mempertahankan kejuaraan mereka. Silap percaturan, kejuaraan yang kemas tersandang di bahu selama ini boleh terlepas kepada New Day atau lebih parah lagi kepada Rowan dan Harper.

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Wanita Smackdown: Charlotte Flair (juara) lawan Asuka

Misi memecahkan dominasi rekod tanpa kalah manakala seorang lagi dengan visi untuk bergelar juara. Sebuah perlawanan yang dianggap begitu penting dan antara yang paling mencuri tumpuan untuk divisyen wanita.

Asuka yang menjadi pemenang pertama Royal Rumble wanita pada Januari lalu berpeluang memilih mana-mana kejuaraan wanita sama ada di Raw atau Smackdown. Siapa sangka dirinya yang berada dalam roster Raw tampil membuat kejutan di acara Fastlane bulan lalu dan memilih Charlotte sebagai lawan pilihannya di Wrestlemania.

Sebagai bintang wanita yang tidak pernah dikalahkan sejak menyertai WWE dua tahun lalu, tiada siapa dilihat mampu memecahkan rekod tersebut. Namun segalanya boleh berubah kerana Charlotte dianggap sebagai antara bintang wanita paling hebat era ini dan pertembungan kedua bintang dari dua benua berbeza ini pastinya amat ditunggu-tunggu.

Daniel Bryan & Shane McMahon lawan Kevin Owens & Sami Zayn

Konfrontasi yang telah membara sejak tahun lalu kini tampak telah tiba ke kemuncaknya. Sikap Owens dan Zayn yang tidak sudah-sudah mencari masalah dengan pihak berautoriti Smackdown menyebabkan tiada lagi rundingan. Sebaliknya hanya penyelesaian dalam gelanggang menjadi solusi terbaik.

Menariknya, Daniel Bryan yang sebelum ini direhatkan selama dua tahun akibat kecederaan, mendapat lampu hijau untuk bergusti semula oleh pihak perubatan WWE. Maka pentas mana lagi yang lebih baik untuk pengasas Yes Movement ini untuk membuat come back nya selain Wrestlemania?

Tambahan pula, Wrestlemania tahun ini berlangsung di arena Mercedes Benz Superdome, New Orleans. Lokasi yang sama di mana Bryan memenangi Kejuaraan Heavyweight Dunia WWE pada empat tahun lalu. Sudah tentu banyak nostalgia akan terimbau kembali.

Persoalannya, adakah Byran masih lagi setangkas dulu? Dan adakah Shane telah pulih 100% daripada penyakit diverkulitis yang dialaminya minggu lalu dan kekal cergas untuk mendepani Owens dan Zayn yang tidak mengenal erti belas kasihan?

Kurt Angle & Ronda Rousey lawan Triple H & Stephanie McMahon

Kehebatan bekas Juara Bantamweight Wanita UFC yang kini telah menjadi bintang WWE sepenuh masa akan teruji sama ada dirinya serasi atau tidak di gelanggang empat segi. Namun nampaknya cabaran pertamanya tidak serumit mana kerana hanya akan berdepan Stephanie McMahon yang bukannya penggusti sepenuh masa dalam perlawanan regu campuran ini.

Penyertaan Ronda Rousey ke WWE di acara Royal Rumble pada Januari lalu sememangnya amat dialu-alukan oleh semua. Namun segala kata-kata manis dan pujian daripada pasangan Stephanie dan Triple H hanyalah ibarat menanam tebu di pinggir bibir. Semuanya hanyalah helah dan Kurt Angle dengan berani telah mendedahkan segala konspirasi pasangan suami isteri itu.

Insiden dimalukan oleh Ronda ketika acara Wrestlemania 31 pada tahun 2015 masih kekal tersemat di sanubari Steph. Justeru, dengan memasukkan Ronda ke WWE, anak perempuan Vince McMahon itu berharap dapat memanipulasi serta memalukan semula Ronda dalam syarikat yang dimilikinya itu.

Enggan tunduk kepada kehendak permaisuri WWE itu, Ronda mencabar Stephanie di Wrestlemania sebelum Triple H masuk campur. Ini menyebabkan Kurt Angle selaku Pengurus Besar Raw terpaksa menanggalkan sutnya seketika dan menyarung kembali seragam gustinya untuk berada di pihak Ronda bagi merealisasikan perlawanan beregu campuran paling mengujakan dalam sejarah WWE ini.

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan WWE: AJ Styles (juara) lawan Shinsuke Nakamura

Apabila kedua-dua bintang sensasi antarabangsa ini menyertai WWE pada dua tahun lalu, para peminat mula mengimpikan agar keduanya dapat dipertemukan semula. Ini kerana para peminat masih diigaukan dengan kehebatan perlawanan mereka yang berlangsung di acara NJPW (New Japan Pro Wrestling) Wrestle Kingdom 10 yang berlangsung beberapa minggu sebelum mereka ke WWE.

Peminat mula melirik senyuman lebar apabila Shinsuke Nakamura dimasukkan ke jenama yang sama dengan AJ Styles tahun lalu. Namun keduanya belum ada jodoh untuk bertemu satu lawan satu sehinggalah Nakamura menjadi pemenang perlawanan Royal Rumble tahun ini dan menempah tempat sebagai pencabar utama di Wrestlemania.

Tidak menunggu lama dalam membuat pilihan, The King Of Strong Style terus memetik nama AJ Styles selaku Juara WWE untuk berpencak dengannya di pentas Mania. Barangkali jodoh mereka kuat. Laluan AJ Styles untuk kekal juara juga tampak mudah dan masih kekal bergelar juara hingga kini. Usah dilihat kepada tubuh sederhana mereka. Sebaliknya bersedialah untuk terpempan dengan pelbagai aksi memukau kedua bintang hebat ini dalam perebutan kejuaraan paling berharga di WWE ini.
 

Perlawanan bagi merebut Kejuaraan Universal WWE: Brock Lesnar (juara) lawan Roman Reigns

Perlawanan yang mengambil masa tiga tahun untuk direalisasikan. Setelah pertembungan mereka di perlawanan utama Wrestlemania 31 tidak berakhir seperti yang diharapkan akibat gangguan Seth Rollins, kini tiba masa untuk kedua bintang ini beradu tenaga semula bagi mencari siapakah yang lebih dominan.
 
Sejak bulan lalu, Roman tanpa berselindung membidas sikap Brock Lesnar yang dilihat acuh tidak acuh untuk muncul dalam program mingguan WWE. Malah Lesnar makin menyimbah minyak ke dalam api sanubari Roman apabila selesa bergambar dengan Pengerusi UFC, Dana White ketika acara WWE sedang berlangsung.
 
Kata-kata Roman itu nyata tidak mendatangkan rasa senang di hati Lesnar. Sudahnya, selama beberapa minggu kebelakangan ini, Roman teruk dikeronyok dan dibelasah tanpa belas kasihan menggunakan kerusi besi dan beberapa lagi objek asing, sehingga menyebabkan Roman dikejarkan ke hospital.
 
Kini tiada apa lagi yang menjadi fokus bintang Samoa ini selain merampas Kejuaraan Universal milik Lesnar agar bengkung kejuaraan ini akan dapat ditonton setiap minggu dan dipertandingkan dengan lebih kerap. Namun mampukah Roman melaksanakan tugas tersebut dengan jayanya?
 
(Foto: WWE.com)
 
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan acara ini secara langsung bermula jam 5.00 pagi Isnin (9 April 2018) di rangkaian WWE Network saluran 820 / 840 (HD). Layari www.astro.com.my atau pergi ke saluran 200 untuk melanggan.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 20,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen