Portugal terus tawan Eropah?

Oleh Suzana Basri 14 June 2019 2230
Portugal terus tawan Eropah?
Selain penganjuran Sukan Olimpik Tokyo, tahun 2020 juga bakal diwarnai dengan kejohanan bola sepak berprestij eropah atau Euro yang bakal berlangsung istimewa sempena ulang tahun ke-60 penganjurannya.

Bukan angka 20 atau 60 yang mendominasi kejohanan ini sebaliknya 12 dimana buat pertama kalinya 12 bandar dari 12 negara eropah bergabung tenaga dalam menganjurkan pertandingan sepanjang 12 Jun sehingga 12 Julai 2020.

Azerbaijan, Denmark, England, Jerman, Hungary, Itali, Belanda, Ireland, Romania, Rusia, Scotland dan Sepanyol akan menyambut kedatangan 12 lagi negara yang bersaing untuk format 24 pasukan buat edisi kedua selepas Perancis 2016.

Menariknya, jika England mara lebih jauh, mereka berkelebihan beraksi di laman sendiri apabila Stadium Wembley yang terletak di London hampir pasti digunakan sebagai lokasi pertarungan separuh akhir dan pentas final buat kali kedua selepas bertindak sebagai gelanggang berkecuali pada 1996.

Namun, England mahupun 11 lagi negara penganjur dari 50 negara eropah tetap perlu menjalani aksi kelayakan untuk merebut slot 24 pasukan terbaik selepas Portugal muncul pasukan pertama yang mengesahkan penyertaan ke pusingan akhir menerusi kejuaraan Liga Negara-Negara yang julung kali diadakan.

Ia jelas kemenangan yang melegakan kapten, Cristiano Ronaldo ketika Portugal bukanlah pendahulu kumpulan B di pusingan kelayakan selepas sekadar merekod keputusan seri pada pertemuan dengan Ukraine dan Serbia, Mac lalu.

Ronaldo gagal menjadi wira pasukan ketika seluruh dunia memberikan tumpuan kepada aksi liciknya berdepan pertahanan terbaik dunia ketika ini yang juga kapten Belanda, Virgil van Dijk, disamping Matthijs de Ligt. Namun, Ronaldo gembira apabila bahagian tengah berjaya dihidupkan Bernardo Silva yang diangkat selaku pemain terbaik kejohanan.

Pemain sayap Valencia, Goncalo Guedes, yang membuktikan kemampuannya apabila melakukan rembatan bertenaga bagi mengatasi penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen, antara bintang muda yang perlu diberikan perhatian dalam hasrat Portugal mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dengan tundukkan Perancis di final tiga tahun lalu.

Guedes yang pernah menyarung jersi Paris Saint-Germain pada 2017, merekod jaringan antarabangsa pertama pada aksi persahabatan menentang Arab Saudi pada November 2017 dan kini merekod 4 gol keseluruhan bersama skuad senior.

Lebih menarik, Guedes, yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan oleh pengendali Portugal, Fernando Santos sebaik genap berusia 18 tahun pada November 2015 telah menjadikan Guedes pemain termuda selepas Cristiano Ronaldo yang turut memulakan kerjaya seniornya pada usia sama.

Kini harapan Guedes yang baharu terselamat dalam kemalangan jalanraya pada Mei lalu bukan mahu menandingi Ronaldo, sebaliknya dia mengharapkan gandingannya bersama ikon bola sepak Portugal itu mampu meneruskan rekod cemerlang dari tahun 2016. Namun apakah gandingan ini dan beberapa nama yang disebutkan diatas cukup untuk melunas hasrat ini?
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen