Pogba dalam pemerhatian rapi Barcelona

Oleh Shaukei Kahar 24 September 2018 615
Pogba dalam pemerhatian rapi Barcelona
Pasang-surut kedudukan Paul Pogba di Old Trafford nampaknya berulang lagi – baik dia membuka mulut atau berdiam diri.

Terbaru, masa depannya bersama Manchester United dilaporkan dalam keraguan pada ketika Barcelona sudah merangka pelan untuk menjejaki prestasi pemenang Piala Dunia itu dalam setiap perlawanan.

Akhbar Daily Mirror memaparkan Barcelona bercadang untuk memantau Pogba dalam setiap perlawanan musim ini sambil kelab Catalan itu memulakan usahanya untuk menandatangani pemain tengah Manchester United itu pada musim panas penghujung musim nanti. 

Pengurus Besar Barcelona, Pep Segura, serta pengarah teknikal, Eric Abidal dan Ramon Planes, akan memantaunya secara dekat yang bakal disusuli bidaan melampaui £100 juta. 

Kelab gergasi Sepanyol itu mempunyai perisik yang memerhatikannya dalam Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu dan bercadang meneruskannya untuk sepanjang kempen berkenaan. 

Barcelona menaruh kepercayaan Pogba berminat untuk mengubah angin ke Sepanyol pada musim panas akan datang setelah gagal memenuhi hasrat itu ketika jendela perpindahan terdahulu. 

Pogba telah mengharungi musim yang sukar di Manchester United, apatah lagi hubungannya dengan pengurus, Jose Mourinho, sentiasa diteropongi media di sebalik Mirror Sport melaporkan awal bulan ini bahawa suatu bentuk perdamaian telah dicapai di antara kedua-duanya. 

Dalam pada itu,Pogba juga kini meniti landasan untuk mencapai rekod jaringan peribadi terbaik dalam jersi United. 

Dia meraih masing-masing sembilan dan enam gol dalam dua musim pertamanya di Old Trafford susulan perpindahan bernilai £89 juta daripada Juventus – kelab yang menyaksikan dia dua kali menyumbat 10 gol setiap musim. 

Tapi selepas gol bergandanya ketika menentang Young Boys dalam Liga Juara-Juara yang meningkatkan jumlah jaringannya kepada empat dalam enam perlawanan pertamanya musim ini – tiga daripadanya penalti – pemain berusia 25 tahun itu mahukan lebih lagi.

“Saya gembira kerana jaringan-jaringan saya membantu pasukan mencapai kemenangan. Jika saya dapat terus melakukannya, saya mahu membantu pasukan seboleh-bolehnya,” katanya.
Itu, bagaimanapun, mungkin tidak kekal berpanjangan, dengan Nou Camp sentiasa menggamit kedatangannya.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen