Podium -- perlu kajian semula atau tidak?

Oleh Rizal Hashim 17 April 2018 569
Podium -- perlu kajian semula atau tidak?
Pada 9 Mac, 2005, penulis diperkenalkan kepada Evan Stewart, seorang pakar psikologi dari Austalia yang ditugaskan dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Disebabkan penulis mahu menulis berita kehadirannya, penulis meminta biodatanya. Dia bertanya kenapa. Dia enggan memberi salinan CVnya kepada penulis.

“Saya akan emel anda kemudian,” katanya.

Sembilan bulan tujuh hari kemudian, pada 16 Disember tahun yang sama, penulis yang bertugas sebagai wartawan sukan The Malay Mail, bertembung semula dengan Stewart. Penulis menyindirnya. “Mana CV anda?”

Pada 4 April 2005, penulis bertemu dengan Damien Kelly, bekas pengurus dan jurulatih polo air yang dilantik mengurus projek AsiaKom, program elit yang mendahului Podium.

Selaku pengurus yang mengendalikan program atlet elit, Kelly juga bersyak wasangka dengan penulis.

Ya, benar kerana penulis tidak memahami tindak-tanduk Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Datuk Seri Azalina Othman Said, melantik pakar asing untuk tugas-tugas yang dikendalikan oleh orang tempatan selama ini.

Antara yang lantang mempertikaikan keputusan ini ialah Datuk Sieh Kok Chi, yang ketika itu Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Apa yang sukar diterima orang kita ialah pelantikan pengurus atau penyelaras projek dari luar negara dengan diberi gaji berlipat ganda lebih tinggi daripada tenaga tempatan yang melakukan kerja yang sama.”

“Malaysia sudah merdeka 50 tahun dan takkanlah dalam ratusan ribu warga tempatan, tiada seorangpun yang mampu menyelaras dan merancang projek latihan elit yang selama ini dikendalikan anak tempatan,” kata Kok Chi, dipetik oleh penulis dalam akhbar The Malay Mail yang disiarkan pada 11 April, 2006.

Kok Chi turut mengemukakan satu soalan yang menarik perhatian penulis.

“Mengapa Malaysia boleh melahirkan pakar bedah jantung, jurutera, kewangan tetapi tidak ada seorangpun yang boleh dilantik sekadar menyelaraskan program sukan?” katanya.

Kenyataan bernada sinis itu susulan kehadiran Kelly yang dilihat tidak banyak membantu mewujudkan proses budaya prestasi tinggi tidak lama selepas kontinjen negara membawa pulang tujuh pingat emas dari Sukan Komanwel 2006 di Melbourne.

Penulis tidak ada masalah dengan warga asing, asalkan mereka memberi nilai tambah dan hadir dengan reputasi sukar dipersoal.

Antara sahabat penulis Allan Harris, Claude Le Roy dan Aleksandar Bozenko (bola sepak), Morten Frost Hansen dan Rexy Mainaky (badminton) serta Daniel St Hilaire, Edwin Ozolin, Pavel Litovchenko bersama isterinya Lilia Nurutdinova (pemenang pingat perak 800m wanita Sukan Olimpik Barcelona) dari olahraga.

Bezanya, mereka adalah teknokrat, atau pakar teknikal dan bukannya anggota birokrat.

Terkini, kepulangan kontinjen negara hanya dengan tujuh emas dari Gold Coast menimbulkan polemik sama ada program elit Podium harus dikaji semula.

Bagi negara yang pernah memenangi 10 emas di tempat sendiri pada 1998 dan 12 emas di edisi di New Delhi pada 2010, prestasi di Gold Coast tidak memberangsangkan, apatah lagi program elit dikendalikan Podium yang diketuai Tim Newenham, bekas pengurus prestasi tinggi sukan menembak British, penasihat latihan suaian fizikal Tim Henman dan ketua eksekutif Majlis Sukan Guernsey.

Newenham hadir dengan reputasi besar. Seorang jurulatih olahraga dalam lontaran, Newenham membantu Peter Wilson mengutip emas acara menembak trap di Sukan Olimpik 2012, selain memupuk minat ketua jurulatih Iain Dyer, ketua jurulatih lumba basikal trek Britain.
  
Namun untuk mengurus modal insan tempatan, adalah wajar warga tempatan diberi tugasan ini.

Antara isu yang timbul di bawah naungan Podium ialah isu kontrak jurulatih terjun, Yang Zhuliang yang tidak dilanjutkan, kes penembak yang menyaman ISN selepas digugurkan daripada Podium dan kegagalan kontinjen negara menduduki 10 tangga teratas dari segi pungutan pingat di Gold Coast.

Mengimbas kejayaan Sukan Komanwel 1998, program Jaya’98 yang dilancarkan pada 1993 dikendalikan oleh Allahyarham Rahim Haron, diganti Azemi Awang Chik dan kemudian Azizan Zainol Abidin sambil dipantau Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad.

Tugas Jaya’98 menjalin kerjasama intim dengan Persatuan Sukan Kebangsaan menerusi pelantikan pengurus projek untuk setiap sukan. Perencanaan latihan dibuat oleh sebuah jawatankuasa bersama dianggotai Mazlan, wakil persatuan, pengurus projek, jurulatih dan pegawai MSN. Sebuah jawatankuasa teknikal dianggotai saintis sukan dan ahli akademik memantau program latihan.  

Unit Jaya’98 juga bekerjasama dengan Bahagian Persediaan Antarabangsa yang diketuai mendiang Datuk Ho Koh Chye, disusuli Phua Tai Neng, Jackson Lim dan Ahmad Shapawi Ismail. Bahagian itu hari ini dikenali sebagai Bahagian Atlet, diketuai oleh Jefri Ngadirin.

Mazlan juga berhati-hati dalam mengurus bajet kerana meskipun MSN badan berkanun yang dibenarkan mencari sumber kewangan sendiri, dana terbesar disalurkan oleh Perbendaharaan.

Sebabnya mudah – jika berlaku kemerosotan ekonomi, MSN masih mempunyai rizab untuk memastikan program latihan atlet tidak terjejas.

Unit AsiaKom ditubuhkan pada 2004 sebagai alasan menjejaskan reputasi MSN berikutan kegagalan di Olimpik Athens dan menghalalkan “pembaharuan” tetapi selepas pengurus pertama yang bergaji hampir RM4,000 meletak jawatan, Kelly dilantik dengan gaji bulanan RM17,000 sebulan.

Apabila jentera pengurusan berdepan masalah, Datuk Seri Zolkples Embong dilantik mengepalai jawatankuasa pengurusan Projek Doha dibantu Shapawi.

Prestasi terbaik kontinjen dalam Sukan Komanwel dilakar di New Delhi pada 2010 dengan menghimpun 12 emas, mengutip satu emas setiap hari, termasuk Elaine Koon dalam acara gelung gimrama untuk menepati sasaran 10 emas, ditambah lagi dua emas menerusi badminton, ketika MSN diterajui Zolkples. 

Penulis merakamkan sejarah ini agar pembuat dasar sukan negara tidak mengulangi kesilapan lampau. Namun kita jarang belajar daripada sejarah!
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen