PKNP sepatutnya main di Stadium Perak

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 24 May 2018 3648
PKNP sepatutnya main di Stadium Perak
Perbadanan Kemajuan Negeri Perak PKNP FC kini dibelenggu dengan masalah gelanggang tuan rumah susulan venue pasukan itu musim ini, Stadium Batu Kawan mengalami masalah lampu limpah.

Kejadian berlaku sebelum sepak mula perlawanan menentang Selangor pada Rabu apabila jana kuasa lampu limpah di stadium berkenaan mengalami kerosakan sekitar jam 8.45 malam.

Perkara itu dimaklumkan Komisioner Perlawanan, Baharim Jusoh yang kemudiannya mengesahkan pertemuan itu terpaksa dibatalkan dan tarikh baru perlawanan akan diputuskan Malaysia Football League MFL.

Mencuri perhatian saya ketika pengumuman itu dibuat adalah proses baik pulih lampu limpah stadium berkenaan mengambil masa selama sebulan!

Terus terlintas di hati saya, di manakah gelanggang tuan rumah yang akan digunakan PKNP FC dalam tempoh berkenaan membabitkan dua perlawanan bertemu Pahang dan Terengganu pada awal Jun.

Persoalan itu berlegar-legar di fikiran saya selepas pasukan itu juga tidak dapat menggunakan Stadium Perak di Ipoh lalu saya terus bertanyakan kepada jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengenai perkara itu.

“Kita akan membuat rayuan kedua untuk bermain di Stadium Perak kerana sebenarnya tiada isu mengenai pertindihan jadual dengan pasukan Perak. Kami juga tidak perlu lagi mengharungi perjalanan yang kerap seperti yang berlaku ketika ini.” ujar Abu Bakar yang mengharapkan pasukannya dapat beraksi di stadium itu.

PKNP sebenarnya sudah lama terpaksa bermain di luar Ipoh akibat penutupan Stadium Perak sebelum ini kerana kerja membaiki permukaan padang.

Ia menyaksikan PKNP FC berkelana ke Stadium Proton City, Tanjong Malim, Stadium Batu Kawan dan ada ketika di Stadium Shah Alam. Saya juga melihat Stadium TLDM Lumut menjadi pilihan kepada pasukan ini ketika ini.

Seharusnya, situasi ini tidak berlaku memandangkan PKNP FC adalah wakil Perak yang pada ketika ini agak cemerlang mengharungi saingan Liga Super walaupun dibarisi pemain-pemain kurang ternama.

Jadi, adalah lebih baik segala kemelut yang pernah melanda diketepikan demi kemajuan bola sepak negeri Perak yang akhirnya memberi pulangan lumayan kepada peminat bola sepak di sana.

MFL juga perlu memainkan peranan besar untuk memastikan perjalanan liga kita berjalan lancar dan wajar bagi saya PKNP FC diberi hak menggunakan Stadium Perak.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen