Piala Thomas 1992 -- di sebalik tabir Elyas

Oleh Rizal Hashim 26 May 2018 3829
Piala Thomas 1992 -- di sebalik tabir Elyas

Tan Sri Elyas Omar menghembuskan nafas terakhir pada Selasa lalu, hari yang sama skuad badminton negara untuk Piala Thomas dan Piala Uber dipersembahkan kepada media, lengkap dengan pakaian seragam baharu.

Pemergian Elyas dicatat pada jam 7.15 malam, tanggal 15 Mei, 2018.

Sebenarnya tarikh itu hadir kurang sehari untuk genap 26 tahun Rashid Sidek dan rakan-rakan sepasukan memijakkan kaki di Stadium Negara sebelum diisytihar juara Piala Thomas tepat jam 12.37 tengah malam, 17 Mei 1992.

Hari ini seluruh negara dihimpit kecewa apabila skuad Piala Thomas tumbang di kaki Indonesia pada suku akhir di Bangkok dua hari lalu, manakala pasukan Piala Uber lebih awal gagal di peringkat kumpulan.

Penantian negara berlanjutan, sejak kemenangan bersejarah di Stadium Negara pada 1992, bersaksikan penyokong, termasuk Elyas, Almarhum Sultan Azlan Shah, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tan Sri Annuar Musa dan Sultan Nazrin Shah di tepi gelanggang.

Kemenangan itu sebenarnya bertitik tolak daripada pemikiran strategik pengurusan, pengorbanan pemain dan jurulatih serta bantuan pelbagai pihak, Gabungan komponen termasuk kesungguhan pemain, kegigihan barisan jurulatih, kecekapan pengurusan dan sokongan peminat menuai hasil, beberapa dekad selepas BAM mengorak langkah menubuhkan skuad remaja pada 1979.

Proses itu dipercepatkan apabila Elyas mengambil alih tampuk kepimpinan BAM pada 17 Ogos 1985, menggantikan Tan Sri Khir Johari yang membawa pulang Piala Thomas pada 1967.

Projek Piala Thomas 86-88 ilham Datuk Punch Gunalan di Persatuan Badminton Kuala Lumpur (PBKL) diserapkan ke dalam BAM dengan nama Projek 88-90, dengan syarikat Marlboro menyuntik RM2 juta, disusuli Benson & Hedges dan Rothmans yang bersilih ganti menaja program. Rothmans menyumbang RM4.2 juta untuk tempoh tiga tahun, manakala Yonex RM2.7 juta untuk tempoh sama.



Skuad senior dan barisan projek 88-90 menginap di Kompleks Belia Cheras untuk berlatih sepenuh masa, berbanding di Pusat Latihan Polis (Pulapol), manakala bintang seperti Morten Frost Hansen dan Sze Yu dipelawa menjadi rakan pelatih pemain muda.

Memancing Chen Changjie pada 1988, Han Jian pada 1990 dan Yang Yang pada 1991 juga dianggap satu kebijaksanaan manakala pakar psikologi, Dr Mark Andersen, membantu persediaan mental dan Walt Williamson selaku jurulatih kecergasan. Carta pentadbiran menggunakan ramai kakitangan sepenuh masa dengan Gunalan sebagai ketua jurulatih merangkap Setiausaha BAM, seorang pegawai kewangan dan beberapa kerani dengan tugas masing-masing.

Sentuhan pakar China hadir pada 1987 apabila Fang Kaixiang tampil dengan mengubah corak latihan lebih keras dan disiplin, sehingga Malaysia menewaskan Indonesia pada separuh akhir Piala Thomas 1988, kemenangan pertama ke atas seteru itu sejak 1967..

Sekalipun Kaixiang disegani selaku pakar teknikal, Elyas mendedahkan kepada penulis bahawa beliau tidak berfikir dua kali melawan hujah legenda China itu.

“Kata putus terletak di tangan saya. Selaku ketua organisasi, saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya, mengimbas detik beliau menolak cadangan Kaixiang menurunkan Foo Kok Keong sebagai pemain perseorangan pertama pada separuh akhir Piala Thomas 1988.

Dua nama besar yang terhasil daripada projek 88-90 adalah Cheah Soon Kit dan Soo Beng Kiang yang menyempurnakan mata kemenangan Malaysia pada Piala Thomas 1992, manakala Rashid lebih awal muncul selaku juara remaja Asia pada 1985.

“Saya memujuk ibu bapa mereka untuk melepaskan mereka ke Kuala Lumpur,” kata Elyas.

Pelatih lain termasuk Chong Weng Kai, Tee Seng Keong, Wong Tat Meng, Ong Ewe Chye, Rahman Sidek, Hamdan Saroji, Kwan Yoke Meng, Lee Fook Heng dan Tan Kim Soon, dengan Weng Kai tersenarai dalam skuad Piala Thomas 1986.

Namun, apabila Rashid digugurkan gara-gara konflik tajaan dan diganti Clarence Tim, kelemahan program itu tergambar apabila seorang demi seorang pelatihnya gagal bersaing di pentas antarabangsa.

BAM lalu melancarkan projek kedua Thomas-Uber-Olimpik (TUO) dengan menjurus kepada usaha mencungkil bakat lebih muda, termasuk membahagikan skuad kepada dua pelapis, antaranya Wong Ewe Mun dan Ong Ewe Hock, serta pasangan ersaudara Yap Yee Guan-Yap Yee Hup manakala barisan kedua dianggotai 11 pemain.

Itu dari segi jangka masa panjang.

Untuk persiapan 1992 pula, Elyas yang bertindak sebagai seorang bapa yang boleh didekati tanpa sebarang protokol, memberi kepercayaan penuh kepada Gunalan untuk merancang strategi.

Selain meletakkan skru dalam bulu tangkis ketika latihan agar pemain belajar membaca pergerakan yang sukar, Gunalan menggunakan latar belakangnya sebagai jurutera mekanikal untuk membawa dimensi berbeza dalam latihan, termasuk mengangkat sebelah gelanggang latihan pada satu sudut lebih tinggi.

Ini kerana pemain yang berada di sebelah gelanggang itu mampu menyempurnakan smash lebih tajam bagi membantu pasangan lawan memperkasakan kaedah pertahanan.

Yang Yang yang bersara pada 1990, pula digunakan sebagai rakan sepelatih Rashid, Foo Kok Keong dan Yoke Meng sebagai simulasi menentang musuh seperti Zhao Jianhua dan Ardy Wiranata.

Sebagai rakan sebilik, sahabat satu daerah di Jiangsu dan sama-sama menyertai kem latihan China, Yang Yang yang menyertai BAM pada 1 Jun, 1991, mengenali Jianhua dengan rapat.

Yang Yang, ketika itu baru berusia 28 tahun dengan reputasi juara Piala Thomas dan pemenang pingat emas Sukan Asia 1990, juga meneliti corak permainan setiap pemain perseorangan negara dan mengambil maklum bahawa mereka keberatan atau tidak mahu menyambut bulu tangkis ketika kedudukan mereka tersasar.

Tabiat buruk ini dikikis Yang Yang, individu pertama melengkapkan himpunan gelaran Grand Prix Dunia, Piala Dunia, Kejohanan Dunia dan Kejohanan Seluruh England serta tidak pernah kalah dalam perlawanannya sepanjang kempen Piala Thomas 1986, 1988 dan 1990. Amanat Yang Yang, sambut selagi bulu tangkis belum mencecah bumi.

Perancangan di luar kotak Gunalan, diadun dengan ketokohan Elyas dan sifat kebapaannya yang tidak mengenal darjat serta kegigihan pemain, jurulatih dan pegawai di balik tabir, adalah formula kejayaan 1992.
 
Gabungan pemikir, pelaksana, atlet dan sistem sokongan yang sempurna melengkapkan komponen kejayaan.

Namun, tidak lama selepas Razif-Jalani Sidek memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 1992, usaha mengeluarkan Elyas daripada badminton dan tampuk kuasa selaku Datuk Bandar Kuala Lumpur bermula.

 BAHAGIAN KETIGA: APA KATA FANDI AHMAD

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen