Piala Malaysia tiket ke kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Oleh Shaiful Shamsudin 4 August 2019 9209
Piala Malaysia tiket ke kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023
Tanggal 20 Ogos ini, Piala Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Piala Malaya, maka genaplah hayatnya mencecah 98 tahun. 

Ia diiktiraf sebagai kejohanan tertua dan kemuncak saingan Liga Malaysia (Liga-M). 

Sungguhpun tiada ganjaran mahupun slot ke pentas Asia ditawarkan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), tidak pula ia menghalang setiap pasukan untuk membuat membuat persiapan rapi. 

Piala Malaysia dan Piala Cabaran kini menjadi rebutan terakhir setiap pasukan dan kelab sebagai hadiah perpisahan untuk kempen 2019 yang gemilang, atau mungkin juga sebagai pelantar talian hayat bagi pemain mahupun jurulatih untuk memenangi kontrak baru. 

Piala Malaysia masih keramat daripada aspek keamatan tinggi yang ditawarkan serta ramai yang sanggup bermandi keringat demi gemilangnya. 



Selain itu, ia medan terbaik buat jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, membuat penilaian akhir sebelum membariskan skuad yang bakal mengharungi dua misi penting serentak, kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar/Piala Asia China 2023.

Harimau Malaya berdepan ranjau di Asia Tenggara dalam pusingan kedua kelayakan zon Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.

Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Indonesia bermula 5 September ini, disusuli pertemuan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lima hari berselang. 

Dua lagi pencabar serantau, Vietnam dan Thailand, melengkapkan perhitungan timbal balik dalam Kumpulan G sehingga tamat kempen kelayakan, 9 Jun depan. 

Mana-mana pemain yang menyerlah, pasti akan dipantau rapat oleh Cheng Hoe dengan kelibat pemain yang beraksi dalam final Piala FA yang lalu, J. Partiban, Brendan Gan dan Baddrol Bakhtiar antara nama yang dicanangkan.

Selain itu, antara pemain yang menyerlah dalam perlawanan getir itu adalah pemain lincah Lang Merah, Farhan Roslan, yang mula mendapat rentak selepas pulih daripada kecederaan. 

"Bagi saya, Baddrol Bakhtiar bermain dengan begitu baik.

"Saya bukan hanya bagi peluang kepada dia sahaja. Semua orang saya akan bagi peluang.

"Setiap pemain yang berpotensi, tidak kira pemain muda atau senior, semua akan diberi peluang jika bersesuaian dengan pasukan," jelasnya dalam Nadi Arena ketika ditemui di Wisma FAM, Rabu lalu. 

Antara cabaran Cheng Hoe ketika ini adalah untuk memastikan pemain tempatan mengekalkan aksi konsisten, lebih-lebih lagi buat muka baru. 

Kalau tidak, tidak hairanlah pengendali itu lebih cenderung memilih tonggak berpengalaman di pentas antarabangsa biarpun ada yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen