Petanque.. jangan dipandang rendah lagi 

Oleh Dayne Azmin 30 January 2018 277
 Petanque.. jangan dipandang rendah lagi 

Ada orang gelarkan sukan ini macam main guli cuma bezanya bola besar dan berat serta teknik balingan juga ada yang tersendiri.

Belum diceritakan cara sebutan sukan ini yang berbeza-beza tambahan petanque berasal dari Perancis, maka sukarkan masyarakat kita cara menyebutnya dengan betul termasuk penulis sendiri.

Ketika Petanque diperkenalkan kali pertama dalam Sukan SEA 2005 Filipina, tidak ramai tahu cara sukan ini dimainkan malah tiada sesiapa berasakan kita akan beri penekanan serius kepada petanque.

Namun, lama kelamaan, rentak sukan petanque negara perlahan-lahan semakin memikat dan Sukan SEA 2015 Singapura buka mata semua pihak sebaik Muhd. Hafizuddin Mat Daud memenangi pingat emas.

Justeru, tidak jadi masalah mengapa petanque disenaraikan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan atlet negara membalas kepercayaan tersebut dengan dua pingat emas.

Tutup kisah kejayaan di Sukan SEA, kini penggiat sukan petanque mungkin boleh tersenyum melihat perkembangan sukan ini di pentas antarabangsa.

Tidak lagi sekadar memandang Sukan SEA, mereka sudah boleh pasang angan-angan bertanding di peringkat paling tinggi dalam karier mana-mana atlit iaitu Sukan Olimpik.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bakal buat pengesahan pada tahun 2019 dan sebaik-baiknya Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) boleh mula buat perancangan jangka panjang dalam pembentukan skuad.

Bukan itu sahaja, Sukan Asia Hangzhou 2022 mampu jadi pembuka langkah sulung lakaran kecemerlangan skuad petanque negara terutama pasukan lelaki yang ketika ini punyai beberapa pemain berkelas dunia selain Hafizuddin.

Pingat gangsa dalam acara beregu campuran di Kejohanan Petanque Dunia 2017 menerusi Syed Akmal Fikri Syed Ali dan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz perlu dijadikan panduan yang kita ada atlit berpotensi.

Jika diberi pendedahan lebih banyak bertanding di kejohanan luar terutama di bumi Eropah atau sekurang-kurangnya enam kejohanan luar negara dalam tempoh setahun, kemungkinan pemain petanque negara mampu jadi pencabar konsisten di pentas antarabangsa.

Tidak rugi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) beri perhatian serius kepada petanque kerana selain faktor kos yang rendah bagi peralatan, sukan ini menumpukan kepada kekuatan skil dan mental, tiada perbezaan ketara berbanding memanah, menembak atau boling padang.

Justeru, penulis berharap sukan petanque terus diberikan perhatian lebih serius selepas ini dan bukannya bersifat suam-suam kuku selepas berakhirnya Sukan SEA 2017.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen