Pescao Semusim Lagi Di MotoGP

Oleh Syamil Izwan Azizan 6 June 2018 18630
Pescao Semusim Lagi Di MotoGP
Selepas enam perlumbaan saingan MotoGP musim ini, ada perkhabaran gembira buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, selepas kontraknya bersama pasukan Tech 3 dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

Perkara ini memastikan nama Malaysia akan terus berada dalam saingan musim 2019 di mana pasukan Tech 3 akan mempunyai jentera baharu iaitu KTM.

Musim pertama Hafizh dalam saingan kelas perdana MotoGP nyata tidak mengecewakan apabila dia setakat ini sudah mengumpul 17 mata untuk berada di kedudukan ke-16 keseluruhan.

Persembahan terbaiknya sudah pasti menduduki tangga kesembilan di GP Argentina dengan hanya sekali sahaja gagal menamatkan perlumbaan iaitu pada GP Amerika.

Mensasarkan untuk menjadi pelumba "Rookie" terbaik musim ini, ia kelihatan semakin memihak kepada Hafizh kerana setakat ini dia mendahului muka baharu yang lain seperti Franco Mobidelli (ke-17 keseluruhan), Takaaki Nakagami (ke-19) dan Thomas Luthi serta Xavier Simon yang masih belum mengumpul sebarang mata.

Segala pencapaiannya setakat ini berdasarkan tempoh persiapan singkat untuknya menyesuaikan diri bersama Tech 3 yang menggunakan jentera Yamaha musim ini.

Berdasarkan perkembangan ini, diharapkan Hafizh dapat terus mengekalkan tunggangan konsisten dalam usaha membuktikan dia sememangnya punyai kualiti untuk bersaing dengan pelumba utama MotoGP yang lain.

Penulis yakin dengan Hafizh untuk terus mengukuhkan kedudukannya sekaligus memberikan lebih lonjakan semangat buat pelumba-pelumba tempatan yang lain dalam cuba mengikuti jejak langkahnya.

#GoPescao
#HS55

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen