Pertembungan tradisi rancakkan minggu ini

Oleh Shaiful Shamsudin 10 November 2018 652
Pertembungan tradisi rancakkan minggu ini
Aksi terakhir minggu ini sebelum rehat antarabangsa menjanjikan pertembungan epik yang mempunyai kisah tersendiri.

BORUSSIA DORTMUND LWN BAYERN MUNICH 
 
Bermula dengan pertembungan tradisi Klassiker di Signal Iduna Park membabitkan Borussia Dortmund dan Bayern Munich jam 1.30 pagi nanti, ia boleh dianggap misi penting buat kedua-dua pasukan. 
 
Dortmund sudah menemui rentak terbaik mereka apabila berkelebihan empat mata di puncak Bundesliga. Meskipun kekalahan tidak akan menggugat kedudukan mereka, namun Bayern yang menduduki tangga ketiga dengan 20 mata sudah pasti ingin mengambil kesempatan ini bagi menghambat kedudukan, lebih-lebih lagi buat Niko Kovac yang berhasrat mengukuhkan reputasinya selaku pengendali kelab gergasi Jerman itu. 
 
Selepas dikritik hebat ekoran permulaan hambar, Bayern kini belum tewas dalam enam perlawanan dengan lima daripadanya berakhir dengan kemenangan. 
 
BOCA JUNIORS LWN RIVER PLATE 
 
Aksi Boca Juniors menentang River Plate juga menggamit aura perseteruan tinggi dalam kalangan peminat bola sepak Latin. 
 
Perseteruan mereka digelar La Bombonera tetapi kali ini di peringkat yang lebih tegang lagi. 
 
Buat julung kalinya, pertemuan La Bombonera akan berlaku di pentas final paling prestij, Copa Libertadores.
 
Format kejohanan mengetengahkan aksi timbal balik dengan pertemuan pertama bakal berlangsung pada jam 4 pagi esok.
 
Dalam insiden 2015, River dikurniakan kemenangan 3-0 ekoran tindakan sebilangan penyokong Boca Juniors yang menceroboh masuk ke dalam padang sebelum menyembur cecair pemedih mata ke arah pemain lawan. 
 
MANCHESTER CITY LWN MANCHESTER UNITED
 
Dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pula bakal menentukan adakah warna sebenar bandar Manchester.
 
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, dan rakan sejawatannya di Manchester United, Jose Mourinho, kali ini tidak lagi bertegang urat, sebaliknya melancarkan perang saraf di sebalik saling menawarkan ayat-ayat manis.
 
Dengan City dilihat hampir pasti mempertahankan kejuaraan mereka, namun Red Devils memiliki reputasi tersendiri kebelakangan ini dalam kunjungan ke Stadium Etihad, tengah malam Isnin nanti. 
 
Mereka kini dikenali sebagai pasukan lambat pemanas susulan kebangkitan menakjubkan pada penghujung permainan ketika mengikat Chelsea manakala berhasil bangkit untuk menundukkan Bournemouth dan Juventus 2-1.
 
AC MILAN LWN JUVENTUS 
 
Dalam kancah Serie A, wujud tiga jenis pertemuan 'derby' utama, iaitu Derby d'Italia, Derby della Mole dan Derby della Madonnina.
 
Derby d'Italia merujuk kepada pertemuan Milan dengan Juventus pada awal pagi Isnin ekoran masing-masing saling bersaing sengit memburu trofi.
 
Sungguhpun Milan bukan lagi gergasi Serie A, namun reputasi mereka perlu dipertahankan, apatah lagi mereka berhasrat untuk mengukuhkan peluang meraih tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. 
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen