Pertembungan dua sahabat dan dua bekas jurulatih kebangsaan

Oleh Zulhelmi Zainal Azam 14 February 2019 7767
Pertembungan dua sahabat dan dua bekas jurulatih kebangsaan
Kehangatan perlawanan ketiga Liga Super minggu ini tetap dirasai walaupun pertemuan Kuala Lumpur menentang Perak yang dijadual berlangsung pada Jumaat terpaksa dipinda ke hari lain yang akan diumumkan kemudian.

Apa tidaknya, minggu ini peminat bola sepak tanahair akan disajikan dengan dua pertembungan menarik, Melaka menentang Pahang di Stadium Hang Jebat pada Sabtu dan Selangor dan PKNS FC di Stadium Shah Alam, sehari kemudian.

Pertemuan Melaka menentang Pahang akan menemukan dua sahabat baik, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh, manakala aksi derby Lembah Klang, Selangor bertemu PKNS FC pula menyaksikan dua bekas jurulatih kebangsaan, B. Satianathan dan Datuk K. Rajagobal akan berentap sesama sendiri di atas padang.

Melaka lawan Pahang sememangnya menarik untuk disaksikan setelah kedua-dua pasukan cemerlang melakar dua kemenangan berturut-turut. Skuad bimbingan Dollah Salleh cetus rasa gerun lawan apabila sudah meledak enam gol dan hanya dibolosi satu gol daripada dua perlawanan.

Kombinasi empat serangkai diketuai Dickson Nwakaeme, Ze Love, Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani memberi impak kuat kepada skuad Tok Gajah dalam dua perlawanan terdahulu, disimpulkan sebagai faktor utama kekuatan skuad Tok Gajah.

Juara Piala FA 2018 ini punyai kekuatan tambahan di jentera tengah gandingan Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih sambil dilengkapi dengan keampuhan benteng pertahanan antara Herold Goulon dan Muslim Ahmad.

Meskipun garang membenam Terengganu tempoh hari, Pahang tetap berdepan ranjau menentang Melaka yang kini lebih jitu dengan barisan pemain yang lebih berpengalaman diketuai Safiq Rahim. Bekas kapten negara itu mampu mengubah permainan skuad Melaka, apatah lagi rakan gandingannya ialah Liridon Krasniqi.

Skuad Zainal Abidin Hassan juga mempunyai kekuatan yang mantap di bahagian serangan diketuai Casagrande sambil diperkukuhkan dengan kelibat 'otai' Shukor Adan serta penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang sudah pasti tahu bagaimana untuk mengekang asakan Pahang nanti.

Pertembungan antara Zainal dan Dollah di atas padang mungkin pernah dilihat dalam beberapa musim terdahulu, namun mungkin jarang dapat lihat pertembungan antara Satianathan dan Rajagobal selaku bekas jurulatih kebangsaan.

Kedua-dua jurulatih itu kini tiada misi lain selain mendapatkan kemenangan sulung musim ini selepas menerima nasib berbeza dalam dua perlawanan terdahulu untuk menentukan pasukan mana yang akan bergelar 'raja lembah klang'.

Dengan istilah tiada kawan atas padang, dua pertembungan ini amat dinantikan dan menarik untuk disaksikan!

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen