Permata baharu Malaysian Tigers

Oleh Mirnawan Nawawi 25 November 2018 116
Permata baharu Malaysian Tigers
Prestasi Norsyafiq Sumantri berjaya memikat hati saya sepanjang tiga aksi persahabatan skuad hoki negara menentang New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Penyerang berusia 22 tahun ini menampilkan persembahan konsisten walaupun Malaysian Tigers tewas dua kali, 1-2 dan 3-4 kepada New Zealand sebelum menang 4-2 ke atas pasukan No. 9 dunia itu pada aksi terakhir.

Tidak dinafikan pemain dari Klang, Selangor itu dapat menunjukkan work rate tinggi selain mempunyai keyakinan dan berani mencabar pemain-pemain New Zealand yang memiliki saiz fizikal lebih besar daripada Norsyafiq.

Walaupun tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan pemanas badan itu tetapi Norsyafiq berjaya mendapatkan beberapa pukulan sudut penalti buat skuad negara selain kelincahannya yang membuatkan pihak lawan tidak senang duduk.

Saya melihat pemilihannya ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula Rabu ini merupakan satu tindakan tepat oleh barisan kejurulatihan diketuai Roelant Oltmans.

Ini kerana Norsyafiq ialah seorang pemain yang memiliki karakter dan berjiwa besar untuk cuba memenangi sesuatu perlawanan.

Mungkin terlalu awal untuk mengatakan Norsyafiq mampu menjadi senjata rahsia tetapi mungkin istilah permata baharu buat skuad negara lebih tepat buat dirinya.

Kecemerlangan ditampilkan bersama Skuad Projek 2016 pada Piala Dunia Hoki Remaja 2016 membolehkan namanya dipanggil untuk menyertai sesi latihan skuad senior negara sebagai pemain attachment tahun lalu.

Kerja keras dan usaha gigih ditunjukkan dalam sesi latihan menuai hasil apabila Norsyafiq mula diberi kepercayaan beraksi kejohanan senior pertamanya iaitu Piala Sultan Azlan Shah 2018 di Ipoh, Perak.

Dia disenaraikan menghadapi dua kejohanan di Australia iaitu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast dan Piala Hoki Antarabangsa Darwin selain membuat penampilan pertama pada Trofi Juara-Juara Asia 2018 di Oman.

Sukan Asia 2018 di Indonesia merupakan satu-satunya kejohanan senior tidak disertai Norsyafiq sepanjang tahun ini.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen