Permainan pun kena jual

Oleh Suzana Basri 15 February 2018 11332
Permainan pun kena jual
Tuntutan hidup pada zaman serba moden ini menyaksikan semakin ramai ahli sukan bijak mencari sumber penambahan rezeki. Usaha ini wajar diberikan pujian kerana menyokong saranan kerajaan agar tidak bergantung kepada bantuan semata-mata tetapi apa yang menyedihkan, ada di antara atlet yang membiarkan diri mereka dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka, terjadilah gejala mengatur permainan.
 
Jika beberapa hari lalu, arena badminton negara digemparkan dengan dakwaan dua pemain lelaki terbabit dalam gejala ini selepas menampilkan gaya hidup mewah yang luar biasa, ia rupanya turut berlaku ketika semangat peminat bola sepak negara berkobar-kobar meraikan kedatangan musim baru Liga Malaysia.
 
Dua pemain Sarawak didakwa mengatur perlawanan menentang Felcra FC yang menyaksikan kekalahan 2-3 pada 10 Februari lalu dan kes ini telah pun berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi penahanan pemain berusia 28 dan 30 tahun itu. 
 
Siapa sangka, ada pula dakwaan susulan membabitkan pasukan dari Liga Super, Melaka United, ekoran kekalahan 1-4 kepada Selangor di Stadium Kuala Lumpur, Cheras baru-baru ini. Perkara ini didedahkan sendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka.
 
Walaupun dakwaan terbaru itu belum dapat dipastikan sejauh mana kesahihannya tetapi apa yang pasti, ia mampu membawa imej buruk kepada saingan bola sepak tanah air yang turut menampilkan pemain luar negara. Daripada sudut lain pula, para penyokong yang selama ini berkorban masa, tenaga dan wang ringgit pastinya rasa di­khianati, sekaligus menerbitkan perasaan skeptikal kepada sukan ini.
 
Jika dibiarkan melarat, apakah nasib bola sepak negara akan kembali ke zaman gelap pada era 90-an? Jika benar, ia cukup menyedihkan kerana nilai integriti seolah-olah mudah dijadikan taruhan, selepas pelbagai usaha dilakukan untuk penambahbaikan dan menaiktaraf liga menjadi lebih kompetitif dari semasa ke semasa.
 
Segala kesan buruk ini turut terguna pakai kepada sukan lain dan bukan dua sukan popular ini sahaja. Mungkin sahaja skandal mengatur permainan ini sebenarnya sudah lama kembali dipraktikkan, cuma mereka yang terbabit terlepas daripada tindakan undang-undang kerana bijak menyembunyikan aktiviti haram mereka tetapi awas, jika sekali tertangkap maka akibatnya bakal ditanggung seumur hidup. 


Kredit foto: Facebook Official Sarawak FA

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen