Peringatan buat United

Oleh Nafis Abdullah 30 April 2018 8242
Peringatan buat United
Manchester United melayan kunjungan terakhir Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal dengan kemenangan 2-1 di Old Trafford pada lewat malam semalam hasil jaringan Paul Pogba dan Marouane Fellaini.
 
Di depan bekas pengurus, Sir Alex Ferguson, United dilihat banyak menguasai perlawanan tetapi terdapat beberapa aspek yang mungkin boleh mula diperkatakan berdasarkan aksi ke-35 liga buat The Red Devils.
 
Lindelof semakin matang
 
Kehadiran Victor Lindelof dari Benfica pada musim panas tahun lalu dilihat sebagai satu penambahbaikan yang bagus buat barisan benteng United, namun tekaan itu tampak salah selepas kesilapan mudah yang dilakukannya semasa skuad bimbingan Jose Mourinho tunduk buat kali pertama pada musim ini di tangan Huddersfield Town pada 21 Oktober 2017. Kegugupan yang dipamerkan telah mendorongnya kepada teknik bertahan yang gopoh, terutama sewaktu membenarkan gol kemenangan jaringan Laurent Depoitre.
 
Hampir 11 bulan di Old Trafford, aksi menentang Arsenal membuktikan pertahanan skuad kebangsaan Sweden itu semakin matang apabila kerap membaca pergerakan lawan, terutama mengekang larian deras yang sering dicipta oleh Pierre-Emerick Aubameyang. Sekurang-kurangnya, ia memberi satu petanda positif buat seorang pemain pertahanan berusia 23 tahun.
 

 
Rashford tampak keliru
 

Marcus Rashford meraih debut cemerlang bersama United pada 2016 ketika era Louis Van Gaal apabila dua aksi pertamanya disudahkan dengan empat gol, iaitu masing-masing dua jaringan ketika menentang Midtjilland dan Arsenal. Bagaimanapun, sejak Mourinho hadir ke Manchester, pemain berusia 20 tahun itu lebih kerap diletakkan di bahagian sayap kerana United memiliki Zlatan Ibrahimovic (pada musim lalu) dan Romelu Lukaku. 
 
Ternyata ketepatan posisi yang dimiliki sebelum ini menjadi pudar, lebih-lebih lagi sewaktu sentuhannya menyebabkan jaringan terbatal akibat ofsaid -- setelah masuk menggantikan Lukaku yang cedera -- selepas tandukan awal Fellaini terkena tiang gol. Tugas Mourinho pastinya besar kerana dia perlu memastikan perkembangan Rashford berjalan lancar, lebih-lebih lagi pemain kelahiran Wythenshawe itu mencipta nama sebagai penyerang tulen, bukan pemain sayap.
 
Herrera satu keperluan
 
Musim 2017/18 berbaki empat perlawanan, dengan tiga aksi liga dan final Piala FA. Bagaimanapun, jika Ander Herrera beraksi dalam kesemua aksi itu, dia tetap kekurangan penampilan berbanding musim lalu, di mana setakat ini mencatat 36 kali beraksi berbanding 50 pada musim lepas.
 
Kehadiran Nemanja Matic dijangka memberi kekangan buat pemain tengah Sepanyol itu tetapi kebangkitan yang ditunjukkan sewaktu membantu United menewaskan Manchester City 3-2 pada 8 April lalu telah memberikan satu ruang baru buat Herrera.
 
Kelibat pemain berusia 28 tahun itu jelas membuatkan Paul Pogba lebih tenang dalam menjana pergerakan ke arah pintu gol lawan. Buktinya, Pogba menyumbat dua gol sewaktu membenam City dan semalam, dia turut mencipta satu jaringan.
 

 
Lukaku sama seperti Ibrahimovic
 
Pada musim lepas, Zlatan Ibrahimovic telah mencipta persefahaman yang baik dengan Pogba dalam setiap serangan The Red Devils sehingga membolehkan penyerang veteran Sweden itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan 17 gol dalam liga sebelum berdepan masalah kecederaan lutut, sekali gus membuatkan United mula ketandusan gol.
 
Situasi itu membuatkan Mourinho membawa masuk Lukaku untuk dijadikan ayam tambatan baru. Malangnya, skrip sama diulangi United apabila terlalu bergantung kepada seorang penyerang utama tanpa memberikan laluan kepada pemain lain untuk menyinar. Situasi itu dapat disaksikan semalam. Sebaik sahaja Lukaku dikeluarkan, United tampak buntu dalam melakukan asakan dan hanya bergantung kepada hantaran bola tinggi dan jauh. United bernasib baik kerana sempat memasukkan Fellaini untuk mengeksploitasi setiap corak permainan itu sehingga membuahkan gol kemenangan. Satu lagi tugas besar Mourinho ialah perlu mempersiapkan gantian yang cukup bersedia untuk Lukaku.
 
Mungkin apa yang dibincangkan di atas adalah sebahagian daripada elemen yang perlu dipandang serius oleh Mourinho bagi menghadapi kempen musim depan. Bagaimanapun, United sudah boleh menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya mereka sudah mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah bagi kempen 2018/19.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen