Perhitungan Van Dijk-Ronaldo dinanti-nanti

Oleh Shaukei Kahar 8 June 2019 6965
Perhitungan Van Dijk-Ronaldo dinanti-nanti
Virgil Van Dijk mungkin tidak menyengajakannya.

Tapi ia akan lebih daripada memadai untuk menaikkan kesungguhan Cristiano Ronaldo bagi membuktikan betapa kapten Belanda itu tersilap.

Dan gara-garanya juga, banyak yang akan menjadi pertaruhan dalam final sulung Liga Negara-Negara UEFA yang menemukan kedua-dua pasukan itu di Estadio do Dragao, Porto pada awal pagi Isnin (2.45 pagi).

Dalam perkembangan mutakhir, Van Dijk yang membintangi Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Madrid hanya seminggu lalu, kini diuar-uarkan sebagai pilihan hangat untuk dianugerahkan Ballon d'Or 2019.

Ia di sebalik pengakuan terbukanya bahawa bintang Barcelona, Lionel Messi, adalah pemain terbaik di dunia – walaupun skuad Blaugrana itu tewas kepada The Reds dalam separuh akhir UCL – dan lebih berhak meraih Ballon d'Or buat kali keenam.

“Saya fikir Lionel Messi adalah pemain terbaik di dunia. Dia yang harus memenangi Ballon d'Or," kata Van Dijk menjelang final UCL di Wanda Metropolitano itu.

“Jadi, saya langsung tidak memikirkannya. Tapi jika saya terpilih, saya akan menerimanya. Namun, Messi patut memenanginya. Dialah yang terbaik di dunia, sama ada dia di dalam final atau tidak,” tambahnya.

Menurut Oddschecker, Van Dijk memiliki kebarangkalian tertinggi 8/11 untuk anugerah berprestij itu, dengan Messi mengekori rapat pada kebarangkalian 6/5. Duo Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane, memiliki kebarangkalian 20/1 sambil Ronaldo dan Raheem Sterling pada 25/1.

Dua hakikat itu saja sudah cukup untuk membuat Ronaldo meluap-luap dengan keinginan untuk menafikannya daripada terjadi kesudahannya.

Lebih-lebih lagi, Ronaldo sendiri masih menaruh harapan terhadap anugerah itu yang suatu ketika dilihat sudah lenyap daripadanya apabila Juventus yang diwakilinya musim ini ditunjukkan pintu keluar dengan agregat 2-3 oleh Ajax dalam suku akhir UCL di Turin, 17 April lalu.

Hatriknya ketika mengetuai Portugal menyingkirkan Switzerland 3-1 dalam separuh akhir Liga Negara-Negara di Porto, awal pagi Khamis lalu, secara tidak langsung melonjakkan nama Ronaldo untuk kembali dalam persaingan – apatah lagi jika pasukannya tampil juara esok.

Seperkara lagi, statistik sepanjang musim ini mencatatkan bahawa tiada pemain – Messi tidak terkecuali dalam kedua-dua peringkat separuh akhir UCL pada 2 dan 8 Mei lalu – dapat menggelecek melepasi Van Dijk secara satu lawan satu.

Ronaldo pastinya akan lebih bersemangat untuk mengubah statistik itu.

Sebelum ini, hanya sekali Ronaldo pernah berdepan Van Dijk dalam satu perlawanan kompetitif ketika Real Madrid menundukkan Liverpool dalam final UCL di Kiev musim lalu.

Pada waktu itu, Ronaldo memilih untuk melakukan sebagaimana penyerang lain dengan melarikan bola untuk lebih kerap berdepan Dejan Lovren sebagai helah mengelakkan Van Dijk.

Final awal pagi esok, bagaimanapun, memungkinkan situasi berbeza – sama ada Ronaldo akan mengatasi lawannya itu atau Van Dijk yang akan membayanginya sepanjang permainan.

Satu-satunya kelebihan buat Ronaldo ialah sokongan gamat dan tidak berbelah-bahagi di Estadio do Dragao sebagai pemain ke-12 yang akan membantu perjuangannya.

“Tidak mudah untuk melepasi Van Dijk tapi jika ada seorang pemain yang mampu melakukannya, ia adalah Cristiano,” kata bekas rakan sepasukan kapten Belanda itu di Southampton, Jose Fonte.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen