Perhitungan tiga kelab gergasi di Eropah Bhg 1

Oleh Zainal Abidin Rawop 24 April 2018 3488
Perhitungan tiga kelab gergasi di Eropah Bhg 1
Musim 2017 – 18 merupakan edisi ke-63 pertandingan peringkat kelab terulung di dunia ini. Sekali lagi nak ditekankan tanyalah kepada semua pemain – pemain 'pro' di Eropah pertandingan yang dimulakan seawal 1955 ini adalah aksi yang didambakan setiap pemain dan kelab.

Bukan sahaja berprestij malah turut menyediakan hadiah wang tunai yang begitu lumayan. Jangan lupa, saham mana – mana pemain yang pernah beraksi pada saingan ini sudah pasti mampu melonjak tinggi.

Daripada 74 kelab yang memulakan aksi daripada peringkat kelayakkan bagi musim 2017 - 18 hanya tinggal empat untuk meneruskan perjalanan ke Stadium Olimpiysky di Kiev, venue perlawanan akhir musim ini.

Diketuai juara terbanyak, Real Madrid, juara lima kali, Bayern Munich, dan Liverpool serta naib juara 1984, AS Roma, sebagai wakil tunggal Itali. 

Walaupun Real Madrid, Bayern Munich dan Liverpool telah berkongsi kejuaraan sebanyak 22 kali, namun kehadiran Roma di peringkat ini seharusnya tidak boleh dipandang ringan lebih – lebih lagi selepas kebangkitan menakjubkan ketika menyingkir gergasi Catalan, Barcelona, di suku akhir.

Banyak perkara menarik yang boleh diketengahkan, antaranya ialah kehadiran empat kelab ini mengimbas saingan 1981 yang turut menampilkan empat kelab mewakili empat negara berbeza, dari Sepanyol, England, Jerman dan Itali. Cuma wakil Itali pada tahun tersebut adalah Internazionale Milan.

Wakil Sepanyol kini hanya satu sahaja sejak 2010 selepas tersingkirnya Barcelona. 

Bagi Real Madrid, inilah penampilan ke lapan berturut – turut di separuh akhir dan bakal membuat perhitungan kali ketujuh dengan gergasi Jerman itu di separuh akhir di dalam sejarah pertandingan. Kali terakhir pertemuan di peringkat ini ialah pada 2014 dengan kejayaan Real Madrid menumpaskan kelab Bavaria itu yang dilatih Pep Guardiola.

Namun, kali ini wakil Jerman itu dibimbing Jupp Heynckes yang kembali buat kali keempat sebagai ketua jurulatih. Beliau telah ‘bersara’ selepas membantu Bayern Munich menjulang kejuaraan Bundesliga pada 2013 tetapi kembali ke Allianz Arena Oktober lalu akibat permulaan buruk Bayern dibawah kendalian Carlo Ancelotti. 

Heynckes adalah jurulatih yang cukup dihormati serta memiliki sentuhan magis di Eropah dan pernah menghadiahkan kejuaraan ‘treble’, iaitu Liga Juara Eropah, Bundesliga, Piala Jerman pada 2013 kepada Bayern. Sejarah bakal berulang kerana Bayern Munich sudahpun memenangi kejuaraan liga dan bakal beraksi dalam final Piala Jerman 2018.

Tanpa sentuhan Heynckes, Bayern sentiasa tersungkur kepada lawan – lawan dari Sepanyol dan berdasarkan kepada rekod pertemuan silam sudah pasti Los Blancos itu diletakkan sebagai favorite sekali lagi. Diperkuatkan lagi dengan fakta mereka diberikan tambahan rehat selepas perlawanan La Liga dengan Sevilla ditangguh selepas kelab Andalusia itu beraksi di final Copa del Rey.

Pengendali Real Madird, Zinadine Zidane, setakat ini hanya ‘pening’ untuk memilih samada Isco atau Gareth Bale bagi menemani Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema. CR7 ketika ini berada di prestasi terbaik selepas menjaringkan 15 gol dalam kesemua 10 perlawanan Liga Juara Eropah musim ini.

Saya turut menantikan apakah prestasi yang bakal dipamerkan bekas pemain tengah Bayern, Toni Kroos, nanti. Pemain berusia 28 tahun itu menyarung jersi di Bayern pada 2007 hingga 2014 menerusi 130 penampilan dan hanya menyumbang 13 gol sahaja. Namun pemain kelahiran Griefswald di Jerman Timur itu dianggap antara pemain tengah terbaik dunia dan pengalamannya dijangka mampu meneruskan kecemerlangan Real Madrid di eropah.

Bagi Bayern walaupun bakal beraksi tanpa Arturo Vidal akibat kecederaan lutut yang serius, namun mereka pasti mengharapkan ‘pemain buangan’ Real Madird, James Rodrigues, mampu menyinar dan membenam kelab asalnya itu.

Perancang Colombia itu tidak diperlukan di Santiago Barnebeu, namun begitu menyerlah sepanjang 2199 minit aksi membabitkan 34 perlawanan menghasilkan 6 gol dan 12 bantuan bersama Bayern Munich. Rodrigues kini ibarat seekor ikan yang dilepaskan ke laut dalam dan bebas untuk mempamerkan aksi terbaiknya berbanding ketika ‘diperam’ oleh Carlo Ancelotti dan Zizou. 

Dua musim di Madrid (2015 – 2017) pemenang kasut emas Piala Dunia 2014 itu sekadar dapat bermain 65 perlawanan dengan menghasilkan 34 gol sahaja dan ramai yang berpendapat ia tidak berbaloi dengan bayaran GBP63 Juta keatasnya. Pemain kelahiran Cucuta Colombia itu dijangka bakal menyertai Bayern Munich secara tetap pada awal musim depan dengan nilai perpindahan sebanyak GBP37 Juta.

Seorang lagi pemain yang membawa watak besar dan desas desusnya bertiup kencang untuk berhijrah pada penghujung musim ialah penyerang sensasi Bayern, Robert Lewondowski. Pemain kebangsaan Poland berusia 29 tahun itu merupakan penyerang yang digeruni bukan sahaja di Bundesliga, namun begitu menyerlah di Eropah hasil ledakkan 39 gol daripada 43 perlawanan setakat ini.

Begitupun pengurusan di Allianz Arena sudah pasti enggan terperangkap dengan umpanan jutaan euro dari Madrid kerana Bayern Munich sendiri ingin membina empayar mereka di eropah dan secara global.

Biarlah dua perlawanan secara timbal balik ini menentukan nasib Real Madrid mahupun Bayern Munich sebelum membuat percaturan menentang pemenang antara Liverpool dengan AS Roma.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen