Percuma musim panas nanti  

Oleh Ammar Hakim 31 March 2018 6570
Percuma musim panas nanti  
Proses untuk merombak dan mempertingkatkan mutu pasukan semakin hampir. Persoalannnya, perlukah berbelanja besar sedangkan boleh mendapatkan pemain-pemain berkualiti secara percuma?
 
Giorgio Chiellini (Juventus)
 
Walaupun memberikan bayangan dia mahu terus kekal bersama gergasi Serie A itu, pertahanan kebangsaan Itali ini masih belum menandatangani sebarang kontrak lanjutan.
 
Bagaimanapun, pengendali Chelsea, Antonio Conte, masih lagi berharap untuk membawa Chiellini ke London bagi menimba pengalaman serta cabaran beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
 
Mario Balotelli (Nice)
 
Selepas gagal menempah nama bersama Liverpool dan AC Milan beberapa musim lalu, penghijrahannya ke Perancis bersama kelab Nice telah mengembalikan sentuhan terbaik bekas penyerang Manchester City ini.
 
Meledak 39 gol dalam semua kejohanan, 22 daripadanya hadir pada musim 2017-18, pemain berusia 27 tahun ini berkemungkinan besar berhijrah bagi mendapatkan tempat semula dalam golongan pasukan elit Eropah.
 
Luke Shaw (Manchester United)
 

Shaw terus mempamerkan persembahan hambar secara konsisten di Old Trafford dan laporan menyatakan pengendali pasukan, Jose Mourinho, memberikan tekanan kepada pemain itu di sebalik prestasi yang kurang memberangsangkan.
 
Dibelenggu dengan masalah kecederaan, Shaw berharap mampu kembali mendapatkan rentak terbaik sebelum penghujung musim ini dan membuktikan kepada Mourinho kebolehan sebenarnya bersama kelab lain.
 
Bernard (Shakhtar Donetsk)
 
Bintang kelab gergasi Ukraine ini telah meluahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab dan menyertai gergasi Eropah bagi meningkatkan lagi mutu permainannya.
 
Chelsea dikhabarkan mahu menggandingkan semula Bernard dengan Willian di London, dengan kelab itu bakal bersaing dengan Liverpool, Sevilla dan Arsenal untuk menandatangani pemain kebangsaan Brazil itu.
 
Jack Wilshere (Arsenal)
 
Pulih daripada kecederaan serta menemui semula sentuhan terbaiknya, Wilshere mempamerkan persembahan cemerlang ketika mengetuai The Gunners menyingkirkan AC Milan dalam saingan Liga Europa (UEL).
 
Pengendali Milan, Gennaro Gattuso menyifatkan pemain berusia 26 tahun itu boleh bermain dalam mana-mana liga di serata dunia.
 
Milan Badelj (Fiorentina)
 
Totteham, AC Milan dan Newcastle United berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 29 ini. Pemain kebangsaan Croatia itu telah menegaskan dia mahu meninggalkan La Viola musim panas ini selepas menolak tawaran Manchester United dan Chelsea, musim lalu.
 
Max Meyer (Schalke)
 
Salah seorang tonggak utama pasukan dalam membantu Schalke menghuni tangga kedua Bundesliga musim ini. Kebolehan yang dipamerkan oleh pemain berusia 22 tahun itu membuat gergasi Eropah tidak sabar untuk mendapatkan khidmatnya.
 
Meyer kini disebut-sebut bakal menyertai kelab seperti Liverpool, Barcelona dan Arsenal musim panas ini.
 
Stefan de Vrij (Lazio)
 
Menolak tawaran kontrak lanjutan yang telah diberikan oleh kelab memberikan petanda pertahanan kebangsaan Belanda ini mahu meninggalkan kelab Itali itu selepas berkhidmat selama empat tahun.
 
Manchester United kini dalam petak pertama bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu dalam proses memperkukuhkan lagi jentera pertahanan mereka.
 
Emre Can (Liverpool)
 
Pemain tengah kebangsaan Jerman itu masih tidak lagi mendedahkan keinginannya untuk menyertai mana-mana kelab musim panas ini dan Jurgen Klopp bergelut bagi memastikan beliau dapat mengekalkan khidmatnya.
 
Sejak permulaan musim ini, Juventus berusaha untuk mendapatkan khidmat Can tetapi bekas pemain Bayer Leverkusen itu terus memberikan persoalan mengenai masa depannya.
 
Arjen Robben (Bayern Munich)
 
Meraih 13 gelaran bersama The Bavarian, ikon Belanda ini semakin hampir menuju penghujung karier dalam arena bola sepak di Jerman.
 
Keinginannya untuk bersara bersama Bayern masih lagi menjadi tanda tanya atau mencari kelab baru sebagai cabaran terakhir sebelum menggantung kasut buat selama-lamanya.
 
Sumber: Football Daily

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen